UPSI lancar aplikasi GeoAttendance, mudahkan sistem kehadiran

Berita Perak

TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), melancarkan aplikasi GeoAttendance bagi memantapkan sistem kehadiran staf dan pelajar.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, GeoAttendance sangat mudah digunakan, menjimatkan masa pengguna dan boleh dilaksanakan oleh mana-mana agensi.

Menurutnya, dengan terhasilnya sistem itu, UPSI menjadi universiti awam pertama yang mengintegrasikan aplikasi mobil untuk merekodkan kehadiran harian dan aktiviti dalam universiti secara GPS di mana data kehadiran akan terus dimuat naik ke dalam pangkalan data utama universiti.

“Sistem ini efisyen untuk pengurusan kehadiran harian ke pejabat dan aktiviti rasmi universiti menggunakan aplikasi mobil berikutan diintegrasikan dengan teknologi Global Positioning System (GPS), ” katanya ketika berucap merasmikan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 dan Perhimpunan Bulanan UPSI Bulan Jun 2024 di Dewan Tuanku Canselor UPSI, di sini. hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyempurnakan perasmian aplikasi berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Digital, Ts Dr Megat Azrin Ahmad berkata, GeoAttendance turut dilengkapi ciri-ciri keselamatan bagi mengelakkan pemalsuan lokasi GPS oleh pengguna.

Menurutnya, inovasi yang dibangunkan menggunakan kepakaran dalaman itu adalah selaras dengan pendigitalan proses kerja di UPSI.

“Penggunaan GeoAttendance ini, merupakan alternatif bagi menggantikan kaedah merekod kehadiran harian menggunakan menggunakan kad pintar dan kod QR sebelum ini,” ujarnya.

Beliau berkata, setiap pentadbir program juga boleh mengaplikasikan GeoAttendance bagi tujuan merekod kehadiran aktiviti atau program universiti menerusi aplikasi mobil universiti iaitu Quick And Response Integrated System (MYQRIS).

“Inovasi yang dilaksanakan ini turut memberi manfaat kepada warga UPSI serta mengalu-alukan kolaborasi dengan mana-mana agensi untuk mendapatkan maklumat dan melaksanakan aplikasi ini,” ujarnya.