UPSI laksana pendigitalan naskah al-Quran tulisan tangan Nurly Shahirah

Berita Perak

TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sedang melaksanakan pendigitalan naskah al-Quran tahriri (salinan tulisan tangan) Allahyarhamah Nurly Shahirah Azman yang terkorban dalam kemalangan bas di Gerik pada Jun lalu.

Naskah Al-Quran itu diserahkan sementara kepada Perpustakaan Tuanku Bainun, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertujuan memberi ruang kepada pihak perpustakaan melaksanakan proses pendigitalan terhadap naskhah asal tersebut.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata proses pendigitalan itu bertujuan memastikan naskhah berkenaan dapat dipelihara dengan rapi untuk jangka masa panjang, di samping menghasilkan salinan digital yang lengkap dan berkualiti tinggi bagi dijadikan koleksi rujukan serta sumber kajian di perpustakaan.

Menurutnya, pendigitalan itu juga memberi ruang kepada masyarakat umum, pelajar serta penyelidik untuk mengakses dan merujuk naskhah tersebut tanpa menjejaskan keaslian manuskrip asal.

Ketua Pustakawan, Noriha Muhammad pula berkata, usaha itu disempurnakan sepenuhnya oleh kakitangan daripada UPSI Digital Library (UDL) yang bertanggungjawab dalam penyediaan imej digital resolusi tinggi, agar setiap helaian al-Quran tulisan tangan ini dapat direkodkan dengan tepat dan jelas.

Menurutnya, proses pendigitalan Mushaf al-Quran Nurly dilaksanakan dengan beberapa tujuan utama iaitu memastikan naskhah tulisan tangan ini dapat dipelihara dengan baik untuk jangka masa panjang, sekaligus mengurangkan risiko kerosakan akibat faktor usia, persekitaran atau penggunaan berulang.

“Usaha ini secara tidak langsung menyokong pemeliharaan warisan intelektual dan kerohanian umat Islam, di samping menjadi amal jariah berterusan buat Allahyarhamah Nurly Shahirah,” katanya di sini.

Ujarnya, bagi memberi peluang warga kampus dan masyarakat umum mengenali lebih dekat khazanah berharga ini, naskah itu dipamerkan secara eksklusif di Aras 1, Perpustakaan Tuanku Bainun, bermula 25 Ogos hingga 2 September 2025.

Menurutnya, pameran itu membuka ruang kepada orang ramai yang sebelum ini mempunyai kekangan untuk melihat naskhah tersebut di Besut, Terengganu, agar dapat menelusuri sendiri hasil usaha seorang anak muda yang gigih menulis keseluruhan mushaf al-Quran beliau.

“Pameran ini bukan sahaja bertujuan menonjolkan keindahan seni tulisan tangan al-Quran, malah sebagai penghargaan terhadap ketabahan dan ketekunan Allahyarhamah, di samping memberi inspirasi kepada generasi muda untuk mencintai al-Quran serta menjadikannya sebagai sumber motivasi dalam pengajian dan kehidupan seharian,” katanya.

Nurly Shahirah, 23, penuntut jurusan Pendidikan Khas di UPSI, merupakan antara 15 penuntut universiti itu yang maut selepas bas persiaran dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan tragis di Gerik, Perak, pada 9 Jun lalu.