IPOH: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melakar satu lagi kejayaan apabila menerima pengiktirafan rasmi sebagai Pusat Kecemerlangan Industri Sukan – Teras Tadbir Urus di bawah Pelan Industri Sukan Negara (PISN) oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Menurut kenyataan UPSI, Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK) telah dilantik sebagai pusat kecemerlangan industri sukan berkenaan bagi memacu pelaksanaan agenda tadbir urus dan pembangunan sektor sukan secara strategik dan berimpak tinggi.
Menurutnya, watikah pengiktirafan disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada Timbalan Dekan (Jaringan Industri dan Pengkomersilan) FSSK UPSI, Dr Nurul Fadhilah Abdullah, baru-baru ini sempena perasmian ASEAN Sports Industry Expo 2025 di Setia City Convention Centre.
Majlis turut disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang mengetuai inisiatif Pelan Industri Sukan Negara dalam memperkasa peranan institusi pendidikan tinggi sebagai rakan strategik pembangunan industri sukan.
Dekan FSSK, Profesor Madya Dr Jaffry Zakaria berkata, pengiktirafan itu membuktikan bahawa UPSI memiliki kepakaran akademik dan penyelidikan yang diiktiraf di peringkat nasional dalam bidang sains sukan dan pengurusan sukan.
“Pelantikan ini adalah satu pengiktirafan besar terhadap usaha berterusan UPSI dalam memperkukuh amalan tadbir urus sukan yang profesional serta memupuk budaya integriti dalam pengurusan sukan tanah air,” ujarnya.
Beliau berkata, FSSK akan menumpukan kepada pembangunan modul latihan, penyelidikan dasar, dan penilaian amalan terbaik tadbir urus sukan yang dapat dimanfaatkan oleh pelbagai agensi serta organisasi sukan negara.
“Kita mahu memastikan UPSI bukan sahaja menjadi peneraju dalam bidang pendidikan sukan, tetapi juga menjadi pusat rujukan nasional bagi polisi dan strategi tadbir urus yang mampan dalam industri sukan,” katanya.
Menurutnya, kolaborasi strategik bersama KBS serta rakan industri akan terus diperkukuh bagi memastikan hasil penyelidikan dan inovasi UPSI dapat diterjemahkan kepada amalan yang memberi impak langsung kepada pembangunan sukan di Malaysia.
Beliau berkata, dalam ekspo itu, FSSK, Pusat Kokurikulum dan UPSI Holding turut menyertai pameran yang menampilkan kepakaran, penyelidikan serta inisiatif universiti dalam memperkasa industri sukan di peringkat kebangsaan dan serantau.
“UPSI kekal komited menerajui pembangunan industri sukan melalui tadbir urus yang berkesan dan kolaborasi strategik bersama KBS serta rakan industri bagi memperkukuh kemajuan sukan Malaysia,” tambahnya.





