IPOH: Kisah seorang warga emas berbangsa Cina yang menjaga dua beradik beragama Islam di Taman Cempaka telah mencuri tumpuan majlis penyampaian sumbangan di Masjid Abd Rahman Auf (MAARUF) Taman Rapat Koperasi di sini, malam tadi.
Lim Peng Chik, 82, yang mesra disapa Uncle Lim bukan sahaja memelihara Awi Hasnan, 15 dan adiknya Azam sejak enam tahun lalu, malah turut menjaga agama mereka.
Dia bukan sahaja memelihara mereka, malah turut menghantar kedua-dua adik itu menghadiri kelas mengaji al-Quran.
Tidak cukup dengan itu, dia sering berpesan agar mereka tidak meninggalkan solat, kerana apa yang diketahuinya, solat adalah tiang agama.
“Saya tidak akan berkompromi soal agama kerana ia sangat penting bagi manusia,” katanya ketika ditemui malam tadi.
Warga emas bersama dua adik itu adalah antara hampir 100 orang yang dipilih Biro Kebajikan MAARUF untuk menerima sumbangan daripada ahli perniagaan Datuk Azizol Kama Abdul Aziz dan Pengerusi Persatuan India Muslim Perak (PRIM), Dr Arib Aliah.
Menceritakan lanjut, Uncle Lim berkata, dia menjaga Awi dan Azam selepas ibu bapa mereka berpisah dan mencari haluan masing-masing.
Bagi menampung perbelanjaan, warga emas itu mengambil upah melakukan pelbagai kerja seperti menghantar anak-anak jiran ke sekolah dan mencabut rumput di kawasan rumah orang.
Menurutnya, dia telah mula membantu golongan yang tidak bernasib baik sejak tahun 1991, ketika bertugas dengan sebuah syarikat minyak masak di Filipina.
Apabila wartawan Suara Kini mendalami kisah hidupnya, Uncle Lim rupa-rupanya bukanlah calang-calang orang atau bukan biasa-biasa.
Dia melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya (UM) dengan dua ijazah, salah satunya dalam bidang kimia pada tahun 1964.
Ketika rusuhan kaum pada tahun 1969, dia membawa diri ke Singapura untuk bekerja sebelum pulang lebih dua tahun kemudian dan bekerja di Felda kira-kira 20 tahun.
Uncle Lim kemudianya bertugas di Filipina dan bidang sama dengan pendapatan yang cukup lumayan dan dengan pendapatan itu, dia mula membantu keluarga miskin di negara berkenaan sejak 1991.
Bagaimapun, kerana situasi geopolitik yang tidak mengizinkan, dia kembali ke Malaysia dan tetap meneruskan usaha membantu golongan yang tidak bernasib baik.
Ditanya mengapa dia membantu orang, warga emas itu berkata, dia mengambil peluang yang diberi Tuhan atau yang dipanggilnya ‘Boss Atas’
“Saya cuma mengambil peluang yang diberi. Dia nak saya buat lagi atau tidak, Dia tunjuk sama ada saya boleh sambung (tolong orang) atau tak. Saya tak fikir ini satu kerja tapi saya anggap ini satu peluang.
“Peluang dari ‘Boss Atas’, sama ada you nak ambil atau tidak, terpulang pada diri sendiri. Kalau ambil, you mesti bersedia untuk berkorban,” ujarnya.
Pernah mendirikan rumah tangga dengan wanita Singapura tetapi tidak mempunyai zuriat, Uncle Lim berkorban menjual dua buah rumah di Kuala Lumpur, termasuk di Taman Tun Dr Ismail untuk menampung usaha murninya.
Kini, dengan sisa-sisa umur dan kudrat yang ada, Uncle Lim masih mahu terus membantu, selagi diberi peluang oleh ‘Boss Atas’.














