UMNO Perak gesa isu stoking tertera kalimah Allah diselesaikan segera

Berita Perak

IPOH: Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak menjunjung setinggi-tinggi kasih atas keprihatinan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menzahirkan dukacita berhubung penjualan stoking bertulis kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart dan mahu tindakan “sekeras-kerasnya” diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah berdasarkan siasatan pihak berkuasa.

Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Seri Saarani Mohanad berkata, UMNO Negeri Perak senada dalam hal itu dan mendesak agar polemik ini perlu dihentikan segera dengan mengenakan tindakan yang keras kepada pihak yang bersalah demi memberi pengajara yang berguna buat semua rakyat Malaysia supaya lebih peka dan berwaspada dalam isu sensitif terutama melibatkan agama.

“Kalimah Allah merupakan kalimah yang tertinggi bagi umat Islam, samaada disengajakan atau tidak, UMNO Negeri Perak tuntut tindakan sekeras-kerasnya diambil.

“Sesungguhnya, kejadian ini merupakan satu penghinaan kepada kesucian agama Islam yang merupakan agama Persekutuan yang dianuti oleh orang-orang Melayu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan malam ini.

Menurutnya, UMNO Negeri Perak juga ingin menzahirkan kekhuatiran jika tindakan yang sepatutnya diambil adalah lewat akan mampu mencetuskan perbalahan antara kaum. Melihat reaksi orang Islam dalam isu, keadaan ini boleh melarat jika tanpa tindakan yang tuntas.

“UMNO Negeri Perak juga menyokong sepenuhnya kempen yang dibuat oleh Pemuda UMNO Malaysia untuk memboikot perniagaan KK Mart sebagai tanda bantahan dan solidariti umat Islam dalam isu ini. Pendirian ini penting dalam memberi pengajaran dan amaran keras kepada semua pihak bahawa kesucian agama Islam tidak sama sekali boleh diperkotak-katikkan,” ujarnya.

Bagaimanapun, kata Saarani, UMNO Negeri Perak mengingatkan agar setiap dari ahli UMNO kekal menjaga adab dan akhlak sebagai umat Islam yang bertindak berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah.

“Ini penting untuk terus menjaga kesucian Islam yang merupakan sebahagian dari ikrar perjuangan UMNO pertahankan selama ini,” tambahnya.