UDA sasar lahir 10 orang ‘Syaidatul Affifah’ dalam sukan boling

Berita Perak

IPOH: UDA Holdings Berhad (UDA) menyasarkan untuk melahirkan bakat muda dalam sukan boling menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares: ‘Bangunkan Komuniti, Lahirkan Juara’, selain memperkukuh komitmen terhadap pembangunan komuniti.

Pengerusi UDA, Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, usaha itu dilaksanakan kerana menyedari penglibatan dalam sukan boling memerlukan kos yang tinggi selain memastikan tiada bakat muda terpinggir akibat kekangan kewangan.

Menurutnya, UDA melalui kerjasama strategik sektor awam dan swasta melihat program ini menjadi wadah mengangkat sukan boling berperanan sebagai platform pembangunan holistik untuk generasi muda dalam membina jati diri, disiplin serta memupuk semangat kesukanan dan perpaduan kaum.

Katanya, 29 pelajar berpotensi dipilih daripada 120 pelajar sekolah rendah menamatkan latihan intensif selama 16 minggu di bawah
bimbingan bekas pemain boling kebangsaan yang berasal dari Ipoh,
Syaidatul Afifah Badrul Hamidi.

“UDA yakin dalam kelompok ini tersembunyi bakat besar yang mampu diketengahkan sebagai juara sekiranya diberi ruang, peluang, bimbingan dan sokongan.

“Kita mahu melahirkan sekurang-kurangnya 10 lagi Syaidatul Afifah daripada program ini,” katanya ketika berucap merasmikan pertandingan boling program UDA Cares: ‘Bangunkan Komuniti, Lahirkan Juara’ di Angsana Ipoh Mall, di sini, hari ini.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Mohd Annuar berkata, pihaknya akan menaja peralatan sukan di samping perbelanjaan lain seperti makanan dan sebagainya.

“Niat saya, daripada pusat ini saya nak melahirkan peringkat pertama jaguh negeri. Saya nak lihat empat tahun dari sekarang Sukma (Sukan Malaysia) akan diwakili oleh produk daripada Pusat Bowling UDA,” ujarnya.

Menurutnya, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak, termasuk pihak swasta untuk bersama-sama membantu melahirkan jaguh sukan tempatan.

Katanya, banyak contoh yang dapat dilihat, baik di Malaysia mahupun luar negara, individu yang tidak berkempuan akhirnya menjadi bintang, sekiranya diberi ruang dan peluang.