Turun padang, dekati pesakit terlantar dan orang kurang bernasib baik

Berita Perak

MANJUNG: Ketika menziarah orang sakit atau tidak berkemampuan, akan terjentik rasa sayu dan hiba dalam diri.

Itu yang dirasai Ikon Wanita Perak, Tina Tajuddin bersama-sama pasukan Gerak Generasi Baru (GGB) semasa turun ke lapangan dalam melaksanakan kerja kebajikan.

Pelbagai kisah yang didengar, dari isu kesusahan hidup sehinggalah kepada penghidap kanser, semuanya disantuni.

Kunjungan ke daerah Manjung dan Bagan Datuk baru-baru ini menemukan beliau kepada beberapa individu yang sakit terlantar.

Sekurang-kurangnya kehadiran mereka dapat memberikan semangat dan dorongan, khususnya kepada ahli keluarga yang menjaga ibu bapa yang sakit.

Salah seorang penduduk yang dibantu, Sabtiah Johari, 65, merupakan OKU terlantar sejak lahir akibat demam panas.

Dia tinggal berdua dengan adik lelakinya dan mujur ramai jiran sekeliling termasuk Ketua Kampung sentiasa peka dengan keperluannya.

Sementara itu, di Rungkup, Bagan Datuk pula, Siti Mariam Sukari,75, juga terlantar dan cacat penglihatan akibat penyakit saraf mata.

Menurut anaknya, Abdul Rahman Jurami, 36, keadaan ibunya semakin merosot sejak beberapa tahun lalu.

Dia nekad berhenti kerja bagi memberi perhatian sepenuhnya kepada ibunya di rumah.

“Selama lapan tahun saya kerja di sebuah syarikat di sini, selepas bapa meninggal mak pula sakit dan penglihatannya semakin hilang.

“Mak ada dapat bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal ada bagi beras.

“Adik beradik lain tinggal jauh dan mereka ada bantu apa yang patut, selain kerap balik kampung kalau cuti.

“Saya ambil keputusan untuk kerja dari rumah saja, dengan berniaga produk di TikTok dan sebagainya, sebab mak memang perlu dijaga sepenuhnya,” kata anak bongsu dari empat beradik itu.

Dalam pada itu, Tina berkata, jelajah GGB antara fokus bagi mendekati orang ramai dan dengan cara itu beliau dapat melihat apa yang perlu dibantu.

“Selain menekankan aspek pendidikan dan pemerkasaan wanita, saya turut menitikberatkan sedekah atau program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Bila kita masuk ke kampung di luar bandar, baru tahu masih ramai yang susah dan memerlukan sokongan untuk teruskan hidup, kita beri dorongan dan kata semangat selain sampaikan kotak makanan,” katanya.

https://kelabwanitaikon.com/vote-awim2425/ Jangan lupa Undi Wanita IKON PERAK sebagai IKON Wanita Malaysia