Tular anjing kejar kanak-kanak hingga nyaris dilanggar, sudah ditangkap

Berita Perak

MANJUNG: Anjing yang tular mengejar kanak-kanak sehingga nyaris dilanggar kereta di Jalan Haji Mohamad Ali, Sitiawan, di sini pada Sabtu telah ditangkap.

Menurut kenyataan dari Jabatan Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam, Majlis Perbandaran Manjung (MPM), didapati anjing itu mempunyai permit dari MPM serta ada pemilik.

“Pada Sabtu, tular di media sosial video anjing mengejar kanak-kanak lebih kurang jam 9 pagi di Jalan Haji Mohamad Ali.

“Susulan itu, MPM melalui Unit Haiwan Merayau, Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan mengambil tindakan menangkap anjing berwarna putih yang disyaki mengejar kanak kanak tersebut sehingga terlibat dalam kemalangan jalan raya.

“Tangkapan dilaksanakan berpandukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing (Majlis Daerah Manjung) 1993,” katanya pada Ahad.

Ujarnya lagi, MPM telah menangkap tiga ekor anjing termasuk anjing tersebut pada hari sama jam 11 pagi kerana melanggar syarat dan peraturan Undang-undang Kecil.

“Iaitu pemilik gagal mengambil langkah-langkah yang munasabah untuk memastikan anjing tersebut tidak menyebabkan kacau ganggu kepada jiran-jirannya.

“Salakan yang tidak henti-henti atau selainnya dan mengambil langkah munasabah memastikan anjing itu tidak merayau di luar kawasan premis pemiliknya dan anjing itu berikat tali apabila dibawa keluar dari premis pemiliknya,” katanya lagi.

Tegasnya, anjing yang mengancam nyawa boleh diambil tindakan pelupusan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar berdasarkan Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772).

Sehubungan itu, katanya, MPM akan merujuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi tindakan lanjut.

Terdahulu, tular di media sosial menunjukkan seorang kanak-kanak berlari di jalan raya dipercayai dikejar seekor anjing sehingga menyebabkan dia hampir dilanggar sebuah kereta.