Tujuh tahun laksana tradisi agih nasi beriani sempena Ramadan

Berita Perak

IPOH: Meneruskan tradisi agihan nasi beriani kepada orang ramai sejak tujuh lalu, AD Katering Kanopy Sdn Bhd meneruskan kesinambungannya pada Ramadan tahun ini.

Menurut Pengarahnya, Siti Hajrah Mohd Yusof, tahun ini sedikit berbeza kerana ia merupakan yang terbesar diagihkan berbanding sebelumnya.

Katanya, sebanyak 3,000 bungkus nasi beriani telah diagihkan kepada orang ramai di Ipoh untuk juadah iftar.

“Kami bekerjasama dengan Persatuan Seni Budaya Wawasan Kinta dan Kelab Belia Wawasan Kinta Perak untuk menyediakan nasi beriani.

“Semuanya dilakukan secara gotong-royong sejak jam 7 pagi.

“Kita telah melaksanakan program ini sejak tujuh tahun lalu dan tahun ini merupakan agihan makanan yang terbesar dan insya-Allah kita akan menambah jumlahnya pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Tambahnya, kira-kira 15 pekerja syarikat katerer dengan bantuan sukarelawan bertungkus lumus menyediakan nasi beriani dengan lauk ayam masala, sayur dan acar tomato.

Jelasnya lagi, setiap seorang tanpa mengira latar belakang kaum dan agama menerima satu pek bungkusan nasi beriani yang mula diagihkan sekitar jam 5.30 petang.