Tujuh lagi tahanan diberkas setakat jam 5 petang Rabu, 31 masih diburu

Berita Perak

Seramai tujuh lagi etnik Rohingya yang meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor, Khamis lalu, berjaya diberkas semula setakat jam 5 petang Rabu.

Ia menjadikan 98 orang telah ditangkap dan pasukan operasi khas masih memburu baki 31 orang yang masih bebas.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi
berkata, tujuh etnik Rohingya itu ditangkap kira-kira pukul 3 petang di kawasan ladang Felcra Jalan Kachu, Tapah.

“Masih lagi berada di dalam kawasan Tapah dan pencarian kita masih lagi diteruskan.

“Seperti mana yang Datuk Seri Ketua Polis Perak umumkan pada masa yang lepas, mereka ini tidak mempunyai apa-apa bekalan, pakaian, tak ada makanan dan mereka tidak akan pergi jauh.

“Sebaliknya dia akan menjadikan kawasan yang berdekatan seperti R&R ini tempat dia orang mencari makan nanti,” katanya.

Ketika ditemui di lokasi tangkapan, Mohd Naim berkata, ketika operasi itu, mereka terpaksa mengejar tahanan yang cuba melarikan diri dan berjaya diberkas selepas kira-kira 500 meter mengejarnya.

Menurutnya, antara cabaran operasi itu ialah faktor geografi yang berbukit bukau, di samping cuaca hujan yang menyukarkan pergerakan.

Bagaimanapun, beliau berharap orang ramai akan terus menyalurkan maklumat sehingga kesemua tahanan berjaya ditahan semula.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 malam Khamis, seramai 131 tahanan Depot Imigresen Sementara Bidor bertindak melarikan diri dari blok lelaki depot berkenaan.

Bagaimanapun, dua daripada tahanan itu meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan.