Toyo Tyre sumbang studio multimedia kepada SK Ngah Ibrahim

Berita Perak

TAIPING: Toyo Tyre Malaysia Sdn Bhd (TTM) mengumumkan inisiatif menyediakan peralatan studio multimedia kepada Sekolah Kebangsaan Ngah Ibrahim (SKNI) dalam satu majlis yang diadakan di sekolah berkenaan semalan.

Pengarah Urusan TTM, Mike Toh berkata, usaha itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat yang berterusan untuk menyokong pendidikan di Malaysia di bawah program Community Outreach Programme (COP).

Katanya, sumbangan berjumlah RM25,000 termasuk peralatan multimedia yang merangkumi 2x 55” Smart TV, 2x Komputer Desktop, 1 set set studio mini multimedia termasuk lampu, meja, skrin hijau dan kamera digital.

“Peralatan itu akan digunakan untuk menubuhkan studio multimedia di SKNI, yang akan digunakan oleh pelajar bukan sahaja untuk merakam muzik, podcast, dan kandungan audio dan video lain tetapi juga sebagai kaedah pengajaran dan pembelajaran transformasi baharu yang selaras dengan “Program Transformasi Sekolah 2025 (T25)”.

“Kami komited untuk menyokong pendidikan generasi muda di Malaysia,” katanya pada majlis tersebut.

Menurutnya, TTM percaya bahawa setiap orang harus berpeluang meneroka kreativiti mereka dan mempunyai persekitaran pembelajaran transformasi, dan kami berharap sumbangan ini akan membantu pelajar di SKNI mencapai pencapaian di luar kebiasaan.

Sumbangan telah diterima Guru Besar SKNI, Ismail Ibrahim yang turut merakamkan penghargaan di atas sumbangan tersebut

“Peralatan ini akan menjadi sumber yang berharga untuk pelajar kami dalam meneroka potensi baharu mereka,” ujarnya.

Majlis turut dihadiri oleh YABhg. Orang Kaya Menteri Paduka Tuan. Datuk Seri Wan Mohd Isa Wan Mohd Razali.

Sekolah Kebangsaan Ngah Ibrahim ialah sebuah sekolah rendah kerajaan yang terletak di Taiping, Perak.

Sekolah ini telah ditubuhkan pada tahun 1896 dan pada masa ini mempunyai populasi pelajar sekitar 140 yang majoritinya adalah dari kawasan sekitar.