IPOH: Mahkamah Tinggi Ipoh pada Rabu melepas dan membebaskan tiga lelaki, tanpa perlu dipanggil membela diri, daripada pertuduhan mengedar dadah lebih satu kilogram, enam tahun lepas.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Nazreen Hazim Abdullah Satar, 35, Mohd Suhaimi Ahmad, 42 dan Muhammad Shafiq Shamsuddin, 38, pada akhir kes pendakwaan.
Dalam penghakimannya, Bhupindar Singh berkata, terdapat beberapa keraguan dan kelompangan dalam keterangan saksi pihak pendakwaan.
Antaranya, perbezaan ketara berat kasar dadah, perbezaan kandungan dadah dalam gambar yang berlainan dan kegagalan memanggil pegawai forensik untuk memberi keterangan tertentu.
Selain itu, terdapat keraguan identiti barang rampasan, percanggahan dalam keterangan mengenai warna pen penanda antara hitam atau biru dan kedudukan ketiga-tiga tertuduh ketika serbuan dibuat.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya iaitu sejumlah berat 1,145. 5 gram ganja di sebuah rumah No. 67, Laluan Pinji Seni 4, Taman Pinji Seni, Ipoh, lebih kurang jam 7.45 malam, pada 17 November 2019.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dihukum dengan tidak kurang 12 sebatan.
Seramai tujuh saksi pendakwaan dipanggil untuk memberikan keterangan berkaitan kes tersebut.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khazrin Haffiz Khalil manakala peguam, Ranjit Singh mewakili Mohd. Nazreen manakala Mohd. Suhaimi dan Muhammad Syafiq masing-masing diwakili peguam Charan Singh dan V. Santhiran.

