Tiga penjawat awam antara lima ditahan kes rasuah

Berita Perak

IPOH: Tiga penjawat awam antara lima individu ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah bernilai lebih RM2.3 juta melibatkan perolehan projek-projek kerajaan Perak.

Mereka yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia 34 hingga 47 tahun itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin.

Kesemua mereka kemudiannya sebelu ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Selasa untuk permohonan reman.

Majistret Noor Azreen Liana Mohd. Darus membenarkan permohonan SPRM menahan reman kelima-lima suspek selama empat hari sehingga Jumaat depan.

Kesemua suspek tiba di pekarangan mahkamah sekitar pukul 10.22 pagi dengan berpakaian lokap SPRM dan dibawa keluar pada pukul 11.39 pagi.

Difahamkan, tiga penjawat awam dan dua orang kontraktor itu ditangkap kerana terlibat dalam aktiviti rasuah memberi dan menerima wang suapan melibatkan perolehan bagi kerja-kerja kontrak bernilai kira-kira RM2.3 juta.

Pengarah SPRM Perak, Ahmad Sabri Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut sedang dijalankan.