Tiga lemas ketika aktiviti berakit redah jeram di Sungai Kampar

Berita Perak

GOPENG: Tiga orang lemas ketika menyertai aktiviti berakit redah jeram (white water rafting) di Sungai Kampar, dekat sini, petang Jumaat.

Difahamkan mangsa sedang mengikuti program ‘team building’ yang diadakan di lokasi berkenaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 5.56 petang.

Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian didapati tiga orang mangsa yang lemas telah dinaikkan ke tebing sungai oleh orang awam.

“Dua mangsa di Rock Garden, masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita serta seorang mangsa lelaki yang berada di River Bug disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, pihaknya difahamkan terdapat 22 peserta daripada Jabatan Kerja Raya SPT & Langkawi serta enam orang pemandu peserta yang turun ke kawasan sungai bermula pada jam 3.30 petang.

Katanya, jarak perjalanan aktiviti berakit itu adalah enam kilometer menyusuri sungai dan tempat dipercayai mangsa dihanyutkan arus berlaku selepas empat kilometer perjalanan.

Ujarnya, mangsa berjaya ditemui dan dinaikkan di kawasan yang sepatutnya aktiviti berkenaan berakhir.

“Mangsa yang dinaikkan di kawasan River Bug telah dibawa ke Hospital Kampar oleh pihak polis manakala dua mangsa lagi masih masih dilokasi berhampiran Rock Garden sementara menunggu kenderaan untuk dibawa ke Hospital Kampar,” tambahnya.

Mengikut rekod JBPM Perak, kes lemas melibatkan aktiviti berakit redah jeram di Sungai Kampar ialah masing-masing seorang pada September 2019 dan Mei 2021.