Tiga lelaki terselamat dalam kebakaran rumah kedai di Taiping

Berita Perak

TAIPING: Seramai tiga orang lelaki terselamat dalam kejadian kebakaran sebuah rumah kedai dua tingkat di Taman Kota Jaya, Simpang di sini awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.01 pagi dan 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping dan Kamunting ke lokasi.

“Berlaku kejadian kebakaran rumah kedai dua tingkat jenis kelas A yang musnah terbakar 60 peratus.

“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati api sedang marak di bahagian tingkat bawah belakang kedai dan tiga orang penyewa lelaki yang tinggal di tingkat atas selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, ketua operasi melaksanakan kerja pemadaman dengan 1 aliran 200 kaki 2 pancutan dari jentera BBP Taiping.

Selain itu, 1 aliran 100 kaki 1 pancutan dari jentera BBP Kamunting dengan bersumberkan air dari tangki jentera dan pili bomba berdekatan sehingga kebakaran dipadamkan sepenuhnya.