Tiga lelaki disyaki cuba curi kabel, maut terkena renjatan letrik

Berita Perak

IPOH: Tiga lelaki ditemukan meninggal dunia, dipercayai akibat terkena renjatan elektrik ketika disyaki cuba mencuri kabel di kawasan lapang Taman Rapat Perdana di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Muhammad Najib Hamzah berkata, Balai Polis Kampung Rapat menerima panggilan orang awam kira-kira jam 10 pagi, yang memaklumkan mengenai kejadian cubaan mencuri kabel di kawasan tiang milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di lokasi berkenaan.

Menurutnya, bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan mendapati tiga lelaki tempatan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati kesemua lelaki tersebut dipercayai terkena renjatan elektrik semasa cuba memotong kabel elektrik pada tiang TNB berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini

Beliau berkata, mayat kesemua lelaki yang berumur antara 35 dan 50 tahun itu telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri dan kes juga diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil siasatan lanjut.

Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang kegiatan jenayah seperti mencuri kabel kerana perbuatan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang malah boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk menyalurkannya kepada IPD Ipoh di talian 05-2451500 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.