Tiga beradik didakwa terima deposit tanpa lesen

Berita Perak

IPOH: Tiga beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima deposit tanpa lesen melibatkan wang RM5.6 juta sejak 2016 lalu.

Tertuduhan, M Vijendran, 41, Danial Marnokaran Abdullah, 36, dan M Thaewendran, 32, sebagai pengarah bersama sebuah syarikat membuat pengakuan itu selepas semua 19 pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mereka yang menjalankan pelaburan mata wang kripto didakwa secara bersama dan individu menerima deposit antara RM6,000 hingga RM1 juta daripada beberapa individu tanpa lesen sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Ketiga-tiga lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut sejak November 2016 hingga Disember 2020.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dibaca bersama Seksyen 249 (1)(a) akta sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM50 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Haiqal Asyraf Suhaimi memohon mahkamah mengenakan wang jaminan RM100,000 terhadap setiap tertuduh.

Bagimanapun Peguam CV Krishnadevan yang mewakili ketiga-tiga beradik itu memohon jaminan yang lebih munasabah kerana anak guamnya telah muflis selain tiada pendapatan tetap akibat perniagaan yang terjejas teruk.

Di samping itu, anak guamnya telah memfailkan notis permohonan untuk semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin bahawa siasatan adalah tidak sah sekaligus membatalkan apa juga pendakwaan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 April depan untuk sebutan semula kes.