TIC perkenal program GGB, solusi belajar tanpa hutang

Berita Perak

IPOH: TAJ International College (TIC) memperkenalkan Program Gerak Generasi Baru (GGB), yang bertujuan untuk mengubah paradigma pelajar untuk berhadapan dengan dunia realiti.

Sejajar dengan misi memenuhi keperluan hari esok melalui kecekapan yang diperoleh pelajar untuk hari ini, TIC mahu memperkasa mereka untuk menjadi pemimpin, inovator dan pengubah masa depan.

Pengerusi Eksekutif TIC, Tina Tajudin berkata, sejajar dengan hasrat itu, GGB dilancarkan untuk tangani kos sara hidup dan beban kos pengajian tinggi.

“Saya melihat kebanyakan pelajar terutama generasi muda banyak terbeban dengan hutang selepas tamat pengajian, tanpa pengetahuan asas tentang pengurusan kewangan yang bijak.

“Kalau kita lihat daripada statistik ekonomi negara, ramai yang dikelilingi dengan hutang pada usia muda.

“Oleh itu, saya berusaha mengatasi isu ini dengan mencetuskan idea program GGB bagi mengelakkan generasi baru dari dikelilingi hutang dan akhirnya belajar tanpa hutang,” katanya pada sidang media di TIC di sini, hari ini.

Menurutnya, TIC dengan komitmen yang lebih mendalam untuk menerajui GGB, memperkenalkan konsep ‘Learn and Earn’ bagi memberi peluang kepada pelajar lepasan SPM untuk belajar sambil menjana pendapatan, sekaligus membiayai kos sara hidup dan kos pengajian.

Katanya, TIC sedar akan cabaran yang dihadapi oleh anak muda hari ini, terutamanya dalam mencari peluang untuk memperolehi pendapatan tambahan serta meningkatkan kemahiran mereka.

“Dengan memperkenalkan konsep ‘Learn and Earn’ di bawah inisiatif GGB, TIC memberi mereka platform untuk mengembangkan diri secara holistik, tidak hanya dalam aspek akademik tetapi juga dalam keupayaan menguruskan kewangan dengan bijak bagi memajukan ekonomi diri, keluarga, masyarakat dan negara mereka pada masa hadapan.

“Ini adalah langkah penting dalam memastikan bahawa pendidikan memberi impak positif, iaitu menjana pendapatan sambil belajar dan bukan dibebani dengan hutang di luar kawalan,” ujarnya.

Dalam menjayakan usaha itu, kata Tina, TIC dengan kerjasama HRD Corp akan menganjurkan seminar ‘Learn and Earn’, bersempena National Training Week (NTW) peringkat kebangsaan.

Seminar ini bertujuan sebagai pengenalan kepada pelajar mahupun lepasan SPM untuk mengetahui dan memilih bidang yang diingini di samping panduan kepada mereka berkaitan kelebihan menjana pendapatan sambil belajar.

Seminar akan berlangsung pada 25 sehingga 29 Jun 2024 dan mereka yang berminat boleh mendaftar di Portal NTW.