TIC beri pendedahan ‘learn and earn’ kepada pelajar, belia di Taiping

Berita Perak

KAMUNTING: Seramai 120 orang terdiri daripada para pelajar dan belia menyertai Program Hala Tuju Belia Negeri Perak 2024, di sini pada Rabu.

Ikon Wanita Perak, Tina Tajuddin dijemput ke program tersebut bagi menyampaikan pesanan dan memberi pendedahan berhubung hala tuju dalam hidup.

https://kelabwanitaikon.com/vote-awim2425/ Jangan lupa Undi Wanita IKON PERAK sebagai IKON Wanita Malaysia

Program itu merupakan anjuran Dewan Belia Negeri Perak di bawah Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional.

Seperti biasa, Tina juga selaku Pengerusi Eksekutif Taj International College (TIC) berkongsi ilmu dan pengetahuan mengenai kepentingan pendidikan kepada golongan muda.

Selain itu, turut diketengahkan konsep learn and earn kepada mereka.

“Saya diminta untuk berkongsi hala tuju mengenai learn and earn, saya harap program itu dapat membantu ramai anak negeri Perak.

“Konsepnya ialah menjana pendapatan sambil belajar, saya khususkan di TIC sebagai pilot project.

“Kita menyediakan program learn and earn di TIC, dan sudah ada sistem sokongan, misi saya ialah 1,000 penyertaan bagi tujuan itu.

“Jika berjaya, saya rasa boleh dikembangkan ke institusi lain, tidak menjadi kesalahan kerana ia bertujuan membantu pelajar dan belia sambung belajar dan tidak berhenti disebabkan kekangan kewangan.

“Saya turut memberi penekanan tentang menjadi tenaga pakar supaya mereka tidak leka dengan kehidupan sekarang, serta fokus dengan hala tuju hidup,” katanya ketika ditemui di sini.

Terdahulu, dalam program tersebut, para peserta turut berkongsi mengenai bidang yang diminati untuk menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi.

Sementara itu, Pengarah Program Hala Tuju Belia Negeri Perak, Mohammad Syazwan Mohd Zaiharin berkata, seramai lima ahli dari Dewan Belia Perak terbabit bagi menjayakan program itu.

Katanya, ia membabitkan DUN Kamunting, Pasir Pinji, Pasir Bedamar dan Teja.

Daerah Kamunting merupakan lokasi pertama bagi tahun ini dan akan dianjurkan ke lokasi lain secara berperingkat.

Katanya lagi, peserta yang terbabit adalah dari Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Taiping, Kolej Vokasional Taiping dan Sekolah Menengah Kebangsaan Doktor Burhanuddin (SMDB).