TIC anjur program Kembali Ke Sekolah, bantu 100 pelajar asnaf

Berita Perak

IPOH: TAJ International College (TIC) akan menganjurkan Program Kembali Ke Sekolah untuk golongan asnaf di kampus kolej itu di Jalan Tun Abdul Razak di sini pada 3 Januari ini.

Pengerusi Eksekutif TIC, Tina Tajuddin berkata, program itu merupakan suatu inisiatif kebajikan dan pendidikan berasaskan konsep wakaf ilmu yang bertujuan meringankan beban kewangan keluarga asnaf dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak menjelang sesi persekolahan baharu tahun 2026.

Menurutnya, melalui pelaksanaan program itu, seramai 100 orang pelajar asnaf daripada peringkat sekolah rendah dan menengah dijangka menerima manfaat secara langsung.

“Penganjuran ini bukan sahaja memfokuskan kepada penyediaan bantuan fizikal, malah turut menekankan aspek kesedaran tentang kepentingan pendidikan serta pengukuhan penglibatan komuniti dalam pembangunan sosial yang mampan

“Antara bantuan yang disalurkan termasuk pakaian seragam sekolah, beg, kasut, alat tulis serta keperluan asas pendidikan, di samping pelaksanaan Wakaf Pendidikan KAFA bagi menyokong pembelajaran Al-Quran dan Fardu Ain secara berterusan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurut Tina, program itu turut mendapat sokongan dan tajaan daripada pelbagai pihak bagi membantu meringankan beban kewangan pelajar asnaf.

Mengulas lanjut, beliau berkata, majlis perasmian program akan disempurnakan Pengarah PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed manakala perasmian penutup oleh Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP), Puan Sri Zalena Mohd Ariffin.

“Secara keseluruhan, program ini membawa nilai yang signifikan kepada komuniti, khususnya golongan asnaf, anak yatim dan keluarga B40.

“Terdapat tiga serahan utama yang akan dilaksanakan pada 3 Januari 2026, iaitu serahan kit kelengkapan persekolahan kepada keluarga asnaf dan anak yatim, serta serahan bakul makanan kepada pelajar-pelajar yang mendaftar di bawah Program TIC Prihatin,” ujarnya.

Selain itu, kata Tina, program itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sokongan, antaranya bengkel keibubapaan, slot motivasi, pertandingan mewarna, jualan vendor amal, pemeriksaan kesihatan pelajar, jualan kelengkapan Kembali Ke Sekolah, pertandingan bayi comel, serta pendaftaran TASKA, KAFA dan program TIC dengan tawaran diskaun kemasukan.

Katanya, pihak penganjur berharap agar pelaksanaan program ini dapat memperkukuhkan budaya wakaf dan amalan kebajikan pendidikan dalam kalangan masyarakat, seterusnya mewujudkan jaringan sokongan yang mampan antara institusi pendidikan, komuniti, usahawan dan para penyumbang.