Tiada galakan, kerja bantu keluarga punca ramai pelajar berhenti sekolah

Berita Perak

BAGAN DATUK: Kekangan kewangan dan tiada galakan motivasi daripada keluarga dilihat menjadi antara pendorong mengapa pelajar tidak mahu ke sekolah.

Rentetan itu, ada di antara keluarga pelajar yang mengambil keputusan untuk memberhentikan anak mereka dari meneruskan persekolahan.

Isu itu dikongsi oleh Ikon Wanita Perak, Tina Tajuddin yang telah mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk beberapa Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di negeri ini.

https://kelabwanitaikon.com/vote-awim2425/ Jangan lupa Undi Wanita IKON PERAK sebagai IKON Wanita Malaysia

Katanya, jika perkara itu tidak dipandang serius, dibimbangi trend itu semakin meningkat termasuk kelompok pelajar yang tidak mahu meneruskan persekolahan.

“Semasa meneruskan jelajah di beberapa daerah, kita dapat maklum balas daripada PPD berhubung isu yang berbangkit.

“Kalau di Manjung, PPD di situ berkongsi bagaimana kesukaran para pelajar untuk ke sekolah kerana faktor pengangkutan dan jarak yang jauh.

“Termasuk juga sosial ekonomi, mungkin kerana mereka bertanggungjawab untuk mencari sumber pendapatan bagi keluarga dan diri sendiri.

“Kalau di Bagan Datuk pula, prestasi pelajarnya agak baik, namun masih wujud keciciran memandangkan faktor kewangan dan pelajar ini dikatakan lebih cenderung bekerja jadi nelayan dan ladang.

“Memang mereka kata ada yang sanggup berhentikan anak daripada bersekolah, ini satu budaya yang jika tidak dipandang serius, akan jadi barah,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjung hormat ke PPD Bagan Datuk, di sini pada Jumaat.

Kunjung hormat itu bersempena jelajah Gerak Generasi Baru (GGB) ke 12 daerah di Perak.

Turut diberi penekanan dalam jelajah itu ialah perkongsian ilmu dan pengalaman bersama pelajar di sekolah menengah yang terpilih serta pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada yang kurang bernasib baik.

Dalam pada itu, Tina berkata, adalah penting untuk menghabiskan persekolahan sehingga SPM bagi menjamin masa depan lebih cerah.

Justeru, beliau sedang merangka cadangan dan usaha untuk bekerjasama bagi mengatasi masalah tersebut.

“Kalau diberi peluang dan ruang, saya akan gerakkan usaha ini bersama pihak berkaitan.

“Kita akan kumpulkan ibu bapa, ketua komuniti dan pihak sekolah khususnya di luar bandar untuk memberi pencerahan dan kesedaran betapa pentingnya pendidikan.

“Kita faham isu kelangsungan hidup, ekonomi yang tidak stabil. Kalau para pelajar hendak bantu keluarga dengan bekerja rasanya tiada masalah, tetapi jangan sampai berhenti sekolah.

“Banyak cara boleh dilakukan, seperti yang kita uar-uarkan di Taj International College iaitu learn dan earn,” katanya yang terkenal dengan perjuangan memartabat agenda pendidikan.

Terdahulu, jelajah hari kelima pada Jumaat diteruskan di PPD Manjung dan Bagan Datuk, selain bantuan CSR ke enam buah rumah iaitu masing-masing tiga di dua daerah itu.