Terkenal dengan capati selembut sutera, Gazebo Abg Nash buka cawangan kelima di RTC Gopeng

Berita Perak

GOPENG: Gazebo Abg Nash yang sememangnya sinonim dengan capati selembut sutera dan kopi putihnya sejak tahun 2011, kini membuka cawangan kelimanya di Pusat Transfromasi Luar Bandar (RTC) Gopeng.

Pengasasnya, Nashrudin Kanesh Abdullah, berkata kedai baharu itu mula beroperasi pada Sabtu dengan pelbagai kelainan kepada orang ramai, khususnya pengguna lebuh raya di kawasan tersebut.

Jelasnya, terdapat lebih 80 menu disediakan di sini seperti makanan bergoreng termasuk sarapan pagi, tengah hari, petang dan malam.

Katanya, Ipoh merupakan antara lokasi bagi pencinta makanan memandangkan ia menawarkan kepelbagaian jenis hidangan, khususnya di Gazebo Abg Nash.

“Saya diberi peluang oleh pihak FAMA Perak untuk cuba buka kedai baharu di sini, bukan setakat capati sahaja, kita telah sediakan pelbagai menu seperti mi kicap, mi rebus dan mi goreng mamak stail Melayu serta sate.

“Kita juga mahu jenama tempatan seperti Gazebo Abg Nash ini berkembang dan memenuhi citarasa semua bangsa dan usia, pendek kata ia menjadi restoran untuk keluarga.

“Selama ini capati kami dikenali kerana kelembutannya seperti sutera. Selain itu, antara signature kita adalah kopi putih yang pasti memikat hati siapa yang merasainya,” katanya.

Dia juga bersyukur kerana bermula dari kedai pertamanya di Batu Gajah sehingga memasuki cawangan kelima ini, para pelanggan sentiasa memberi sokongan dan sambutan yang sangat menggalakkan.

Dia juga sering mengamalkan konsep berniaga sambil bersedekah, di samping menggaji pekerja orang kurang upaya (OKU) bagi memberi peluang kepada mereka meraih pendapatan.

Sehingga kini dia mempunyai 42 orang pekerja di kelima-lima cawangan.

Untuk rekod, Gazebo Abg Nash mempunyai cawangan di Kampung Seri Rahmat di Batu Gajah, Taman Botani, Tasik Cermin dan Seri Iskandar.

Waktu operasi di sini bermula jam 8 pagi hingga 6 petang untuk percubaan dan akan dilanjutkan sehingga 12 malam atau ke atas mengikut permintaan.