Tekong gagal patuhi syarat lesen, dua bot nelayan ditahan

Berita Perak

LUMUT: Dua buah bot nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak dalam operasi penguatkuasaan berasingan semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, dalam operasi pertama sekitar 2 petang, sebuah bot ditahan di 4.6 batu nautika barat Pulau Talang selepas didapati tidak memiliki lesen sah dan diusahakan oleh tekong bukan pemilik berdaftar.

“Tiga kru termasuk tekong adalah warga Myanmar dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan atau pas yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, dalam kejadian kedua sekitar 6.47 petang pula, Kapal Maritim (KM) GAGAH mengesan sebuah lagi bot mencurigakan di kedudukan 39.7 batu nautika barat laut Pulau Jarak.

Katanya, pemeriksaan mendapati vesel tersebut gagal mempamerkan lesen bot ketika diarahkan.

“Empat kru termasuk tekong terdiri daripada tiga warga Myanmar dan seorang warga Thailand, semuanya gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah,” ujarnya.

Mohamad Shukri berkata, kesemua vesel, peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan telah dirampas untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Menurut beliau, operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang di laut dilakukan oleh mana-mana pihak.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti jenayah maritim diminta melaporkannya segera menerusi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6832254.