IPOH: Kolej Komuniti Sungai Siput (KKSS) hari ini memulakan pendaftaran pelajar baharu sesi II: 2025 / 2026 yang melibatkan kehadiran pelajar daripada pelbagai latar belakang.
Antara kisah inspirasi yang mencuri perhatian ialah kehadiran pelajaf autisme, Muhammad Rahimi Mohd Rohinuddin, yang mendaftar bagi mengikuti Program Sijil Teknologi Automotif .
Menurut kenyataan Bahagian Perhubungan Awam Kolej Komuniti Sungai Siput, Rahimi sebelum ini merupakan pelajar di Kolej Komuniti Bukit Beruang, Melaka.
Namun, katanya, pelajar itu terpaksa meneruskan pengajian di Perak berikutan perpindahan tempat kerja ibu bapanya ke Ipoh pada Disember lalu.
“Perpindahan ini menjadi satu cabaran besar buat Rahimi yang perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.
“Lebih membanggakan, Rahimi yang mempunyai Autisme Tahap Ringan (Mild Autism – Level 1 ASD) tidak menjadikan kekangan tersebut sebagai penghalang
untuk terus melangkah ke hadapan dalam dunia pendidikan,” katanya.
Rahimi pula berkata, walaupun berdepan cabaran untuk menyesuaikan diri dan bergaul dengan persekitaran baharu, dia tetap bersemangat dan cekal untuk meneruskan pengajian kerana percaya ilmu sangat penting demi masa depan yang lebih
baik.
Menurut kenyataan itu lagi, kisah Rahimi mencerminkan komitmen Kolej Komuniti Sungai Siput dalam menyediakan peluang pendidikan yang inklusif.
Katanya, ia selari dengan aspirasi
Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memastikan akses pendidikan dan latihan kemahiran dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar
belakang dan cabaran individu.
KKSS berharap kehadiran pelajar-pelajar baharu itu dapat menyuntik semangat baharu dalam ekosistem pembelajaran dan melahirkan graduan yang berkemahiran, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran industri pada masa hadapan.
Ends





