IPOH: Tasik Cermin Ipoh yang dikenali sebagai ‘Ipoh Hidden Gems’ menyasarkan kehadiran seramai 1 juta pelancong bagi tahun 2025.
Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, transformasi tasik daripada bekas kuari kepada ikon pelancongan adalah simbol dedikasi terhadap pemuliharaan alam semula jadi dan pembangunan ekonomi negeri.
Beliau yang juga merangkap Pengerusi Eksekutif Majuperak Holdings Berhad (MHB) menambah, Tasik Cermin turut menerima pengiktirafan Anugerah Destinasi Pelancongan Mesra Muslim oleh Islamic Tourism Centre (ITC) dan ‘The Best Accessible Tourism Initiative Award’ sempena Anugerah Pelancongan Perak 2024.
“Kami berbangga untuk membawa pengalaman unik ini kepada dunia.
“Suatu masa dahulu, lokasi ini antara penyumbang utama ekonomi negara dalam perlombongan dan industri timah.
“Kini ia dibangunkan sebagai pusat pelancongan yang turut menyumbang kepada ekonomi negeri dan negara secara keseluruhannya,” katanya melalui satu kenyataan di sini pada Isnin.
Redza Rafiq berkata, ini satu inisiatif yang membanggakan buat MHB dan STG World Sdn Bhd (STG) kerana berjaya memulihara warisan geologi sehingga berjaya meraih pengiktirafan dalam anugerah berprestij.
“Sejak beroperasi pada tahun 2022, pihak kami bersama STG memastikan akses dan kemudahan selesa kepada pengunjung dengan menyediakan laluan jalan masuk berturap, parkir yang mencukupi, tandas, surau dan menambah baik fasiliti dan perkhidmatan dari masa ke semasa.
“Pihak operator juga memastikan persekitaran dijaga memandangkan lokasi ini berusia sekitar 250 juta hingga 480 juta tahun yang diwartakan sebagai antara destinasi dalam Geopark Lembah Kinta,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MHB, Yazurin Sallij berkata, anugerah tersebut bukan sahaja mengiktiraf destinasi pelancongan itu sendiri tetapi juga aspek kualiti perkhidmatan di Tasik Cermin.
“Anugerah berprestij ini akan menjadi penanda aras kepada kami untuk memastikan Tasik Cermin bukan sahaja destinasi popular tetapi juga sebagai ikon kepada bandaraya Ipoh,” katanya.
Pengarah Tasik Cermin Ipoh, Ng Seong Ping pula berkata, pihak STG berkerjasama erat dengan MHB untuk terus menggiatkan usaha mempromosi Tasik Cermin.
“Kita akan menambah lebih banyak aktiviti outdoor dan program menarik sepanjang tahun 2025 seperti ATV, Perak Food Fiesta, Hari Geologi Sedunia, Tasik Cermin Run dan sebagainya untuk dinikmati pengunjung,” katanya.





