Tarikh baru sebutan semula kes pegawai kanan polis dituduh bunuh pelajar 17 tahun

Berita Perak

IPOH: Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu menetapkan 21 Mac depan sebagai tarikh baharu untuk sebutan semula kes seorang pegawai kanan polis didakwa membunuh seorang pelajar berusia 17 tahun di Jalan Taman Jati, Meru, 15 Disember lalu,

Ia bagi membolehkan pihak pendakwaan melengkapkan dokumen bagi perbicaraan, mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah (CPC).

Majistret S. Punitha membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz memohon lebih masa untuk melengkapkan dokumen.

Pada 18 Disember lalu, Mohd Nazri Abdul Razak, 44, dituduh di Mahkamah Majistret sama dan mahkamah kemudiannya
menetapkan hari ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan-laporan berkaitan seperti laporan kimia.

Mengikut pertuduhan, pegawai berpangkat Deputi Superintendan Polis (DSP) itu didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, Ipoh, antara jam 12.05 tengah hari hingga jam 12.40 tengah hari, 15 Disember lalu.

Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.

Dan jika dijatuhi hukuman mati, hendaklah juga disebat tidak kurang 12 sebatan.

Selain Afzainizam, pihak pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya Saiful Akmal Mod Said dan Timbalan Pendakwa Raya Geetha Jora Singh manakala tertuduh, diwakili peguam Jacky Loi Yap Loong dan Lim Chi Chau.

Turut hadir dua peguam pemerhati keluarga mangsa iaitu Datuk Wan Azmir Wan Majid dan Datuk Zamri Idrus.

Kes mendapat perhatian ramai selepas ia ditularkan di media sosial sejak Selasa dan pihak polis telah mengambil langkah meningkatkan kawalan keselamatan.