IPOH: Kejadian tanah runtuh di Taman Bunga Raya, Tapah, sejak Isnin lalu, turut menyebabkan lebih 50,000 akaun pengguna Lembaga Air Perak (LAP) sekitar Tapah, Bidor dan Teluk Intan mengalami gangguan bekalan.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kejadian menyebabkan saluran paip air mentah dari intake Batu 7 Sungai Woh yang menyalurkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Temoh bocor.
Menurutnya, Lembaga Air Perak (LAP) telah melakukan kerja-kerja pembaikan dan menjangkakan bekalan air pulih selewat-lewatnya tiga hari lagi, bergantung kepada situasi semasa seperti kemungkinan berlaku lagi paip pecah.
“Saya menjangkakan, kalau kerja tu selesai hari ni, test balik, kemudian pagi besok boleh kita salurkan 50 peratus.
“Lagi 50 peratus lagi kita tengok balik, kalau lah kerja-kerja yang lain tu, tambahan tu boleh kita percepatkan, kedua-dua paip ni yang kita bypass pun ok juga, maka kita boleh benarkan 90 peratus daripada load tu dapat kita bekalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di pejabatnya di Ipoh, pada Isnin.
Turut hadir Pengurus Besar LAP, Ir Lokman Abd Rahim; Pengarah Negeri Wilayah Utara Cawangan Perak SPAN, Ir Ts Mohd Zaidi Mohamad Saad dan Jurutera Kerja Kanan SPAN, SPAN Perak.
Menjelaskan lanjut, Mohammad Nizar berkata, kebocoran paip bersaiz 825 mm itu dikesan pada kedalaman lebih 10 meter, dipercayai ekoran kerja-kerja tambakan yang dilakukan pemaju.
Menurutnya, bagi pihak LAP dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyediakan 23 lori tangki untuk membekalkan air ke kawasan terjejas.
Selain kerja-kerja paip, pihak LAP juga menanam dua lapisan cerucuk besi di kawasan cerun berkenaan bagi menghentikan pergerakan tanah.
Dalam masa sama, pihak berkuasa akan mengeluarkan arahan berpindah sekiranya keadaan tidak selamat.
Sebelum ini, media melaporkan enam beranak terpaksa berpindah selepas kediaman mereka tidak lagi selamat diduduki susulan kejadian tanah runtuh di Taman Bunga Raya, Tapah, sejak Isnin lalu.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 malam sehingga mengakibatkan keseluruhan struktur dapur, dinding dan rantai runtuh.

