Tanah runtuh: Enam sekeluarga terpaksa berpindah

Berita Perak

TAPAH: Enam beranak terpaksa berpindah selepas kediaman mereka tidak lagi selamat diduduki susulan kejadian tanah runtuh di Taman Bunga Raya, Tapah, sejak Isnin lalu.

Fahmi Ahmad Jakhisi, 42, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 malam sehingga mengakibatkan keseluruhan struktur dapur di rumahnya, runtuh.

Menurutnya, kediaman yang diduduki sejak enam tahun lalu itu juga berada hampir dengan lereng bukit dan sudah menunjukkan tanda-tanda rekahan baharu di lantai dan dinding rumah.

“Selepas solat Subuh saya dapati keseluruhan rumah saya telah jatuh dan saya telahpun menghubungi pihak bomba untuk pengesahan dan pihak bomba hadir dan mengatakan ada pergerakan air di bawah tanah lah dan menyebabkan bangunan tu hampir jatuh lah.

“Saya pun telah dinasihatkan oleh pihak bomba untuk membuat laporan polis dan saya terus membuat laporan polis,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Perak berkata, mereka sekeluarga menyewa di kawasan perumahan berhampiran sementara menunggu keadaan pulih.

Seorang lagi mangsa, Zulkifli Kamil, 37, mengakui, dia dan keluarga tidak dapat tidur lena kerana kedudukan rumahnya hanya kira-kira lima meter dari kawasan runtuhan.

“Saya risau keadaan tanah ni makin, dia makin ke dalam dah, dia punya rekahan tu.

“Saya bimbang lah dengan keluarga saya, anak-anak saya semua ni, tak boleh tidur dengan lena.

“Sekarang ni saya risau juga, retakan ni dah tinggi 10 kaki tapi pihak berwajib belum suruh kami pihak lagi, saya pun tunggu arahan untuk pindah,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Wong Lai Yun, 42, berkata, hujan lebat yang berlaku dalam tempoh seminggu ini memberi kesan lebih buruk kepada keadaan rumah.

“Rumah saya pun teruk sangat sekarang, sebab dinding, mozek pecah daj hari ni bawah lantai pun sudah pecah.

“Khamis lepas hujan lebat, lagi teruklah rumah saya dan saya percaya dia akan runtuh.

“Saya pun tak berani mahu duduk sini dan berpindah segera kerana bimbang keadaan lebih teruk,” katanya.

Mereka berharap pihak berkenaan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah itu dan mengelakkannya menjadi lebih serius lagi.

Difahamkan runtuhan tanah itu turut menyebabkan saluran paip air mentah yang menyalurkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Temoh bocor dan mengakibatkan beberapa kawasan di Tapah, Bidor dan Teluk Intan mengalami gangguan bekalan air.