Tambah baik perintah tetap PAC Perak – Zainol Fadzi

Berita Perak

IPOH: Kerajaan negeri Perak diminta supaya menambah baik perintah tetap Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Negeri Perak bagi memperkasakan lagi jawatankuasa berkenaan.

Pengerusi PAC Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, pindaan itu perlu bagi membolehkan jawatankuasa tersebut memainkan peranan lebih aktif.

Jelasnya, penambahbaikan itu lebih kepada punca kuasa, seperti yang dilaksanakan oleh Dewan Rakyat dan di kebanyakan negeri lain.

“Isu yang timbul apabila kita memanggil jabatan atau agensi ada setengahnya menganggap ia sambil lewa sebab kita, kalau tak datang pun tidak apa, tidak ada apa tindakan.

“Tapi di Parlimen lain, kalau dua minggu atau sebulan tak datang, kali kedua, ketiga ada denda, denda jumlah tertentu.

“Jadi ini akan menyebabkan mereka-mereka yang dipanggil atapun agensi yang dipanggil akan hadir menjadi saksi dalam isu-isu yang timbul,” katanya.

Beliau bercakap dalam sidang media selepas membahaskan titah perasmian Dewan Negeri Perak Kelima Belas oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini, hari ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Manik itu, PAC bukan bertujuan untuk mencari salah sesiapa, sebaliknya untuk memastikan peruntukan kerajaan digunakan sebaik mungkin, mengikut apa yang telah dirancang.

Katanya, jika terdapat teguran daripada Jabatan Audit, PAC akan meminta penjelasan daripada jabatan atau agensi yang berkenaan.