Tahun Melawat Perak: Yop Aziz gerak Jelajah Solo 12 Daerah Negeri Perak

Berita Perak

IPOH: Kesinambungan Tahun Melawat Perak (TMP2024) disemarakkan dengan Jelajah Solo 12 Daerah Negeri Perak oleh Yop Aziz dari Cayor FM.

Pelepasan jelajah tersebut diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa yang bertempat di Angsana Mall, di sini pada Isnin.

Yop Aziz atau nama sebenarnya Abdul Aziz Md Desa yang sememangnya sebelum ini dikenali sebagai personaliti dan otai radio berkata, inisiatif itu dilakukan dalam menyahut seruan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sebelum ini Saarani mahu rakyat negeri ini menjadi duta kecil pelancongan dan sama-sama mempromosi tempat menarik sempena TMP2024.

“Saya merupakan anak jati Kuala Kangsar dan terpanggil untuk gerakkan usaha ini, walaupun saya tahu tiada sesiapa yang taja.

“Ini antara sumbangan yang dapat saya berikan kepada negeri untuk promosi tempat menarik, makanan warisan dan terbaik, hotel dan inap desa di 12 daerah nanti.

“Buat mereka yang berkenaan termasuk pengusaha tempatan dan pemain industri industri kecil dan sederhana, kalau ada produk menarik boleh mesej saya di 014-303 2796, insya-Allah kita akan terjah ke sana,” katanya ketika ditemui.

Yop Aziz berkata, sepanjang jelajah itu, pelbagai pengisian menarik akan diadakan termasuk kuiz pelancongan Perak di hentian tertentu.

“Untuk hentian tertentu, kami akan tanya orang ramai kuiz mengenai tempat-tempat bersejarah atau menarik di daerah tertentu.

“Kalau dapat jawab akan dapat hadiah tertentu termasuk risalah dari Tourism Perak.

Program ini bukanlah untuk saya promosikan diri saya tetapi kita mahu menaikkan imej Perak dan uar-uarkan kepada orang ramai bahawa banyak tempat menarik di sini,” katanya lagi.

Perjalanan itu nanti membabitkan Tanjung Malim, Bagan Datuk, Teluk Intan, Perak Tengah, Tapah, Manjung, Kerian, Larut Matang dan Selama, Gerik, Kuala Kangsar, Kampar dan Kinta.

Jelajah itu akan berakhir pada 29 Februari di daerah Kinta dan majlis penutup akan berlangsung di Bulatan Meru Raya.