Tahanan Lolos Di Bidor: Lokasi Persembunyian Baki 30 Rohingya Dikenal Pasti

Berita Perak

IPOH: Jabatan Imigresen telah mengenal pasti lokasi persembunyian baki 30 pendatang tanpa izin yang masih bebas selepas mereka melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor, 1 Februari lalu.

Pengarah Imigresen Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, pihaknya percaya tahanan warga Rohingya itu mendapatkan perlindungan daripada komuniti mereka di Perak

Menurutnya, pemantauan dan intipan berterusan dilakukan termasuk ke atas kelompok komuniti tersebut sebelum tangkapan dapat dilakukan.

“Buat masa ini, hasil daripada pemantauan kita aa biasanya kelompok-kelompok Rohingya ni kalau mereka lari pun mereka akan mencari komuniti mereka sendiri.

“Jadi buat masa ni kita dah kenal pasti lah beberapa komuniti Rohingya berkenaan yang berada berhampiran dengan lokasi kejadian,” katanya.dalam sidang media di Pejabat Imigresen Perak di sini, hari ini.

Menurutnya, proses pencarian tidak dihentikan tetapi masih berjalan pada skala kecil, berdasarkan maklumat yang perolehi.

Pada 16 Februari lepas, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution memberitahu, pencarian baki tahanan yang melarikan diri itu akan dilakukan berdasarkan maklumat diterima daripada orang awam.

Setakat ini, seramai 101 daripada 131 pendatang asing berkenaan telah ditahan manakala dua lagi meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya.

Susulan insiden itu juga, seramai 435 tahanan di pusat berkenaan dipindahkan ke enam depoh tahanan. antaranya Machap di Melaka, Lenggeng di Negeri Sembilan, Bukit Jalil di Kuala Lumpur, Kemayan di Pahang dan Langkap di Perak.

Meor Hezbullah berkata, pihaknya masih menunggu arahan daripada ibu pejabat sama ada Depot Imigresen Sementara Bidor yang ditutup sementara itu dibuka semula dalam masa terdekat.

Sementara itu, beliau memberitahu, seramai 350 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Perak telah menyertai Program Repatriasi Migran bagi tempoh 11 hari pertama program itu diperkenalkan.

Di bawah program itu, mereka dikecualikan daripada pendakwaan di samping ditawarkan kompaun lebih rendah berbanding kompaun asal.

Meor Hezbullah berkata, program itu yang berlangsung sehingga 31 Disember depan, dilaksanakan sepenuhnya oleh Jabatan Imigresen, tanpa melibatkan pihak ketiga atau ejen.