Tahanan lolos di Bidor: 26 diberkas pada Selasa, paling ramai sejak operasi

Berita Perak

IPOH: Pasukan operasi khas Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen berjaya memberkas semula 26 entik Rohingya yang meloloskan diri daripada Depot Imigresen Sementara Bidor pada Khamis lalu, pada Selasa.

Ia merupakan tangkapan paling ramai sehari, sejak operasi dijalankan 1 Februari lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dengan tangkapan hari ini bermakna 86 orang berjaya diberkas semula manakala dua tahanan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

“Maknanya, setakat ini berbaki 43 orang tahanan yang masih belum ditangkap semula,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, tangkapan hari ini telah dilakukan dibeberapa lokasi, antaranya Kilometer 326.2 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara); R&R Tapah (arah selatan), rumah kongsi projek Felcra Sungai Gempel Bidor; Kampung Orang Asli Kenoh Tapah; kawasan Pos Woh Jalan Pahang dan Kampung Batu Melintang Tapah.

Mohd Yusri meminta kejasama orang ramai di dalam mengesan etnik Rohingya yang meloloskan dari Depot Imigresen Sementara Bidor

Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang menyukarkan lagi situasi semasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 malam Khamis, seramai 131 tahanan Depot Imigresen Sementara Bidor bertindak melarikan diri dari blok lelaki depot berkenaan.