Syed Abu Hussin mahu kekal Bebas, tidak minat sertai ‘rumah baharu’

Berita Perak

BUKIT GANTANG – Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menegaskan bahawa beliau tidak berminat untuk menyertai mana-mana parti politik baharu termasuk ‘rumah baharu’ yang dikaitkan dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menurutnya, penubuhan parti baharu dilihat masih terikat dengan sentimen politik lama, sedangkan rakyat kini perlu bergerak ke arah kematangan dalam membuat penilaian berdasarkan prestasi, bukan lagi kesetiaan kepada parti semata-mata.

“Tidak. (Sebarang perbincangan) juga tidak ada. Saya kekal non-partisan (bebas),” katanya ketika ditemui pemberita dalam program Jualan Murah Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang di sini, hari ini.

Syed Abu Hussin berkata, rakyat seharusnya memberi sokongan kepada mana-mana pemimpin yang menunjukkan keupayaan bekerja dengan baik tanpa mengira latar belakang parti.

“Kalau kita terus berpolitik berasaskan parti semata-mata, penyelesaian sebenar tidak akan tercapai.

“Rakyat kena nilai siapa yang benar-benar bekerja dan memberi manfaat, tidak kira daripada parti mana, kalau bagus, beri peluang,” ujarnya.

Pada 2024, Syed Abu Hussin yang sebelum itu bertanding pilihan raya atas tiket Perikatan Nasional (PN) telah dipecat daripada keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas namanya telah dikeluarkan daripada sistem keahlian parti.

Terdahulu, Hamzah yang juga bekas Timbalan Presiden Bersatu memberi bayangan mengenai kemungkinan pembentukan sebuah ‘rumah baharu’.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, istilah rumah baharu itu tidak semestinya merujuk kepada penubuhan parti baharu, sebaliknya mungkin menyertai parti lama sama da mengambil alih parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), kembali menganggotai UMNO ataupun menyertai Pas.