Syarikat kitar semula bateri, Econili Battery labur RM150 juta di Perak

Berita Perak

IPOH: Syarikat kitar semula bateri, EcoNiLi Battery New Energy Sdn Bhd, melabur lebih RM150 juta untuk membina kilang di Kawasan Perindustrian Tasek, Ipoh yang menawarkan lebih 300 peluang pekerjaan.

Ketua Pegawai Eksekutif EcoNiLi Battery, Datuk Jayden Goh berkata, fasa pertama tahun ini, mereka melabur RM50 juta dan lebih RM100 juta lagi pada fasa kedua tahun hadapan.

Beliau yakin sektor kitar semula bateri mempunyai prospek yang sangat besar dan boleh memberi sumbangan kepada ekonomi negara.

“Cukup besar, mengikut Financial Times, setiap tahun pelaburan dalam sektor kitaran semula bateri adalah kira-kira RM47 bilion (USD10 bilion), berturut-turut sejak tiga tahun lalu.

“Tapi kita nampak pelaburan masuk ke Malaysia kurang sebab kita punya polisi masih belum buka lagi.

“Kalau kita tak buat polisi ini, makin ramai akan buat secara haram, mereka sorok dalam hutan ke, dia boleh buat sebab kerajaan tak nampak,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis perasmian kilang EcoNiLi Battery New Energy Sdn Bhd, di Kawasan Perindustrian Tasek, di sini, hari ini yang disempurnakan Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.

Menurut Jayden, kilang kitar semula pertama di Malaysia yang menggunakan proses hidrometalurgi itu mempunyai kapasiti 24,000 metrik tan setahun.

Beliau memberi jaminan sistem kitaran semula bateri secara tertutup yang dilakukan adalah selamat dan mematuhi standard yang diperlukan.

“Kita wujud untuk selamatkan planet ini, itu DNA kita.

“Jadi apa sahaja strategi yang digunakan untuk menentukan proses yang digunakan, bagaimana prosedur untuk proses itu, kita ada ukuran yang ketat supaya mematuhi standard Jabatan Alam Sekitar (JAS),” ujarnya.

Menurut Jayden, mereka tidak mempunyai masalah untuk mematuhi segala proses itu dan ia memang dilakukan.

“Kalau Eropah boleh terima ini konsep, tak kan lah kita tak boleh kan.

“China punya standard alam sekitar lagi tinggi, lagi dasyat, kita pun boleh buat, tak kan lah Malaysia tak boleh, (tentu) boleh,” katanya.

Menurutnya, sebagai syarikat yang telah lama dalam pasaran itu dan lebih memahaminya, mereka tahu proses yang boleh mencapai standard yang diperlukan.