TAMIL NADU: Sejarah serta sumbangan umat Islam Tamil dalam mengembang serta menyebarkan bahasa Tamil ke peringkat global wajar didokumentasi.
Cadangan itu disuarakan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan selain berpendapat penyebaran bahasa itu yang dicapai melalui perdagangan antarabangsa tidak didokumentasi secukupnya.
Katanya lagi, peranan mereka sewajarnya diberikan pengiktirafan dan diuar-uar dengan lebih meluas.
“Saya menyeru supaya sejarah serta peranan umat Islam Tamil ini didokumentasi.
“Lebih banyak inisiatif perlu diambil untuk merekodkan sejarah mereka, di samping menekankan peranan mereka dalam membawa bahasa Tamil ke seluruh dunia melalui usaha komersil.
“Sejarah umat Islam Tamil dalam penyebaran bahasa melalui perdagangan global yang berjaya mesti didokumentasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dijemput menghadiri persidangan Organisasi Sastera Islam (ILS) yang meraikan jubli emas di Tiruchi, Tamil Nadu, India.
Persidangan selama tiga hari itu mempamerkan pelbagai perspektif daripada Sarjana Islam Tamil tempatan dan diaspora.
Acara itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Tamil Nadu M.K. Stalin dan Timbalan Ketua Menteri Udhayanidhi Stalin.
Ujar Ahli Parlimen Tapah itu lagi, beliau menghargai sumbangan umat Islam Tamil dalam mengembangkan bahasa berkenaan.
Selain bersedia untuk bekerjasama dalam menganjurkan Persidangan Sastera Islam Tamil Sedunia ke-10 di Malaysia.
Bekas Menteri Sumber Manusia itu turut memuji kejayaan penganjuran persidangan itu yang dikelola oleh Persatuan Sastera Islam.


