IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Sebagai menandakan rasa sedih dan dukacita rakyat dan negeri Perak, baginda menitahkan agar dititahkan bendera Negeri Perak dikibarkan separa tiang pada hari ini.
“Beta bersama Raja Permaisuri, Dewan ini dan seluruh rakyat Beta di Negeri Perak menzahirkan rasa dukacita atas kembalinya Perdana Menteri Kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi dan dan menzahirkan ucapan takziah kepada Tun Jean Abdullah dan keluarga Allahyarham.
“Semoga roh Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dilimpahi rahmat İhsan İlahi ditempatkan dalam kalangan roh para solihin,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama, Tahun Ketiga, Dewan Negeri Kelima Belas Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
Terdahulu, Sultan Nazrin turut menzahirkan rasa dukacita dan tahziah kepada keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin yang meninggal dunia di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu.
Baginda berharap mereka tabah dan redha menerima ketentuan Ilahi.
Baginda bertitah, pemergian Allahyarham Ishsam, 58, merupakan satu kehilangan besar kepada negeri Perak, dunia bola sepak, rakyat di Ayer Kuning, lebih-lebih lagi balunya, Rozlita Abdullah serta dua anaknya Isnabil dan Iszul Imadi.
Titah Sultan Nazrin, selain aktif dalam bola sepak, Allahyarham Ishsam turut aktif memberi khidmat dalam pelbagai pertubuhan sukarela.
“Semoga roh Allahyarham dilimpahi ihsan rahmat Ilahi, ditempatkan dalam kalangan roh para solihin,” titah baginda.
Sebagai penghormatan dan tanda ingatan atas segala jasa bakti Allahyarham Ishsam, Sultan Nazrin mengajak mereka yang berada di dalam Dewan bertafakur, dan umat Islam membacakan surah al-Fatihah.