Sultan Nazrin terkejut ada imam tak baca khutbah disediakan JAIPk

Berita Perak

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah terkejut apabila mendapat maklum terdapat imam yang tidak membaca khutbah yang disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) baru-baru ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, baginda turut menitahkan supaya siasatan dilakukan.

“Sementara siasatan itu berlaku untuk mendapat satu yang lebih objektif, tepat dan betul, untuk adil kepada orang-orang yang terlibat, titah Sultan (supaya) digantung mereka dulu buat masa ini.

“Jadi saya pun menunggu siasatan daripada Jabatan Agama Islam Perak untuk diangkat sembah (kepada Sultan Nazrin).

“Kalau ada asas-asasnya, kita akan sembah dan hak melantik khatib, imam serta guru-guru tauliah mengajar adalah hak DYMM Sultan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan ‘smart tv’ di Sekolah Kebangsaan Raja Dihilir Ekram di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan media sebelum ini mengenai terdapat imam yang tidak membaca khutbah yang bertajuk ‘Keburukan Fitnah: Pengajaran Dari Peristiwa al-Ifki’.

Mengulas lanjut, Mohd Annuar berkata, semenjak menjadi YDP MAIPk, beliau menawarkan diri untuk membuat suntingan teks khutbah, tetapi tidak dari segi kandungannya.

Menurutnya, takwin khutbah disediakan setiap tiga bulan sekali dan panel akan berbincang terlebih dahulu mengenainya, termasuk tajuk dan bulan berapa untuk dibacakan.

“Kebetulan minggu itu, ketika hendak masuk bulan Syaaban, satu peristiwa fitnah besar yang berlaku dan khutbah itu telah dibuat lebih awal.

“Mungkin ada orang tertentu yang telah melakukan fitnah dalam ucapan politik dan sebagainya.

“Macam orang makan cabai, dia terasa pedas, seolah-olah khutbah itu ditujukan untuk dia dan kumpulan dia mengedarkan dalam media sosial jangan hormati khutbah ini,” ujarnya.

Beliau turut mempertikaikan elemen profesionalisma dan intergriti imam-imam yang berkenaan, yang mendapat tauliah daripada Sultan.

“Kalau prinsipnya hari itu dia tak nak baca khutbah tersebut bertentangan dengan politik dia, dia boleh beri orang lain baca, tapi sebaliknya ini betul-betul ingkar,” tambahnya.

Baru-baru ini, media melaporkan empat orang imam telah digantung tugas dan elaun mereka ditahan selepas didapati tidak membaca teks khutbah Jumaat yang disediakan JAIPk.

Timbalan Pengarah JAIPk, Zakaria Abd. Razak berkata, imam-imam itu bertugas di daerah Parit Buntar, Teluk Intan dan Kuala Kangsar.

Menurutnya, nasib mereka seterusnya akan diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib jabatan itu yang dijangka bermesyuarat pada awal Ramadan.