Sultan Nazrin terima RM5.4 juta bayaran zakat

Berita Perak

KUALA KANGSAR: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama media, sektor korporat, swasta, syarikat berkaitan kerajaan, badan bukan kerajaan dan belia di Istana Iskandariah, di sini, malam tadi.

Keberangkatan tiba baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Pada majlis itu, baginda berkenaan menerima zakat berjumlah RM5,417,188.56 daripada lapan syarikat korporat dan dua individu kepada Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR).

Penyerahan didahului dengan zakat pendapatan oleh Datuk Abdullah Abdul Mannan sebanyak RM1 juta disusuli oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) diwakili Presidennya, Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah sebanyak RM364,852.56.

Seterusnya, zakat perniagaan daripada Belati diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Johawaki, Mohamad Akmal Datuk Johari berjumlah RM380,000.

Selain itu, zakat turut diterima daripada Boustead Plantations Berhad yang diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Zulkarnain Md Eusope berjumlah RM434,000.

Kemudian, diikuti CelcomDigi Berhad, diwakili oleh Ketua Wilayah Utara, Farizad Khan Msm Mohamed Ali berjumlah RM107,000 diikuti Johawaki Plantation Sdn. Bhd. yang diwakili Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan Johawaki, Abdul Hadi Datuk Abdul Rahim berjumlah RM150,800.

Selanjutnya, penyerahan zakat perniagaan Lembaga Jurukur Tanah Malaysia yang diwakili oleh Setiausaha Lembaga, Mohd Riza Halim berjumlah RM250,000.

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional turut menyerahkan zakat perniagaan yang diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi, Mastura Mohd Khalid berjumlah RM200,000.

Penyerahan zakat pendapatan yang seterusnya daripada Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berjumlah RM2.3 juta diikuti zakat perniagaan daripada TM Technology Services Sdn Bhd yang diwakili Pengurus Besar Rangkaian TM Negeri Perak, Sallehuddin Khalif berjumlah RM230,536.

Sultan Perak kemudianya berkenan menyerahkan zakat berkenaan kepada Yang Dipertua, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd. Annuar Zaini.

Sementara itu, Syed Abu Hussin ketika ditemui berkata, ini adalah tahun yang kesepuluh beliau menyempurnakan bayaran zakat.

Beliau menyatakan rasa syukur kerana mendapat wakalah (pengembalian sebahagian wang zakat) untuk diagihkan kepada golongan asnaf, khususnya di kawasan Parlimen Bukit Gantang.

Menurutnya, walaupun telah menunaikan zakat sejak lebih 10 tahun lalu, beliau tidak pernah merasakan rezekinya berkurangan, sebaliknya semakin bertambah.