Sultan Nazrin berkenan tinjau operasi Terra Mineral Lab

Berita Perak

GOPENG: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat melawat makmal analisis Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) pertama di Malaysia, Terra Mineral Lab Sdn. Bhd. (TML), hari ini.

Terdahulu, baginda berdua turut berangkat melawat kilang pusat pemprosesan (CPP) secara percubaan (POC) milik Malaco Mining Sdn Bhd. di Taman Perindustrian Tungzen, Kampung Kepayang.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang dan Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Datuk Anuar Zainal Abidin.

Saarani berkata, Sultan Nazrin menyatakan baginda berpuas hati dengan operasi kedua-dua kilang dan makmal itu.

“Tuanku juga bertitah untuk kerajaan negeri bekerjasama dengan kerajaan persekutuan, dan kita minta MOSTI pun tolong.

“Insya Allah, kita akan memulakan langkah ini yang disebutkan sebagai ‘game changer,” katanya kepada pemberita selepas lawatan itu di sini.

Menurutnya, CPP POC telah mencapai kejayaan awal dengan berjaya mengasingkan empat kumpulan iaitu lanthanum cerium (LaCe), praseodymium neodymium (PrNd), samarium europium gadolinium (SEG) dan heavy rare earth element (HREE).

“Pencapaian ini membuktikan keupayaan teknologi tempatan dalam mengasingkan elemen-elemen REE yang penting,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, kata Saarani, TML yang beroperasi di bawah seliaan sepenuhnya MB Inc Perak, dilengkapi dengan peralatan saintifik berteknologi tinggi bertaraf dunia dan mempunyai keupayaan dalam menganalisis, mengenal pasti, dan menentusahkan kandungan mineral, khususnya NR-REE.

Katanya, makmal itu dikendalikan oleh 15 pakar tempatan yang merupakan graduan terlatih dari universiti tempatan, membuktikan kejayaan dalam membangunkan bakat setempat.

“Kejayaan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri menerusi MB Inc. Perak dalam membangunkan industri mineral secara bertanggungjawab, selaras dengan Pelan Perak Sejahtera 2030.

“Pembangunan industri NR-REE ini bukan sahaja akan memanfaatkan ekonomi negeri, tetapi juga membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan serta meletakkan Perak di peta global industri mineral,” ujarnya.

Menurutnya, usaha itu adalah sebahagian daripada strategi komprehensif untuk membolehkan negeri Perak melaksanakan sendiri perlombongan NR-REE, sekaligus memperkasakan industri mineral negeri di persada antarabangsa.