IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul al-Quran Peringkat Negeri Perak Tahun 1446H/2025M di Masjid Sultan Azlan Shah, di sini, hari ini.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.
Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
Majlis sambutan dimulakan dengan tazkirah khas, bacaan ayat suci al-Quran, tahlil dan doa selamat, diikuti majlis berbuka puasa yang dihadiri kira-kira 1,000 jemaah sebelum solat Magrib.
Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan bantuan Hari Raya Aidilfitri MAIPk daripada dana zakat berjumlah lebih RM12.8 juta.
Bantuan diserahkan kepada penghulu mukim dari 12 daerah mewakili 42,825 penerima terdiri daripada asnaf fakir dan miskin di seluruh Perak.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, penerima bantuan itu dipilih daripada senarai yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Diri Jumaat di negeri Perak.
Selain itu, semua penerima bantuan kewangan bulanan dan bantuan hemodialisis asnaf fakir dan miskin turut menerima bantuan Hari Raya Aidilfitri di bawah dana zakat MAIPk.
Sebelum berangkat pulang, Sultan Nazrin berkenaan menunaikan solat Isyak dan tarawih berjemaah.





