IPOH: Di sebaliknya pelbagai polemik yang timbul sejak kebelakangan ini sehingga boleh mencalar keharmonian, sebenarnya ada banyak pihak yang sentiasa berusaha untuk memperbaiki keadaan.
Antaranya Kesatuan Sikh Perak yang menggunakan sukan untuk merapatkan kembali perpaduan yang telah terjalin sekian lama.
Presidennya, Datuk Gurjeet Singh berkata, bagi tujuan itu, mereka membuka kemudahan dan akademi sukan yang dimiliki persatuan di Taman Botani, Ipoh kepada semua kaum, secara percuma.
“Sukan adalah satu platform untuk menyatu padukan semua kaum, jadi itulah antara sebab kami mengadakan akademi ini.
“Kita ada padang sendiri, kita tak perlu sewa padang, jadi kita tak ada kos dan jurulatih semua adalah sukarela,” katanya ketika ditemui di kompleks sukan Kesatuan Sikh Perak di Taman Botani.
Beliau berkata, sekitar tahun 70an 80an boleh dikatakan semua kaum bersatu dalam semangat kekeluargaan.
“Namun, sejak kebelakangan ini, berlaku sedikit perpecahan, saya boleh katakan kerana politik.
“Jadi bila kita bawa murid-murid ke sini (untuk sertai akademi), kita ajar mereka, kita kata tiada politik di sini, semua sama, baik budak Malay China, India mahupun, Sikh, semuanya sama,” ujarnya.
Menurut Gurjeet, jika dahulu klinik sukan diadakan setiap bulan tetapi kini mereka mengadakannya setiap hari Ahad antara jam 4 hingga 6 petang.
Beliau yakin, jika usaha yang mereka lakukan turut dilakukan di tempat dan negeri lain, tidak mustahil Malaysia mampu kembali bersatu seperti di tahun-tahun 70an dan 80an.
Menurutnya, setakat ini kira-kira 300 kanak-kanak pelbagai kaum, seawal umur enam tahun menyertai klinik sukan yang dianjurkan.
Selain hoki dan bola sepak, Kesatuan Sikh Perak turut menyediakan kemudahan sukan lain seperti futsal, bola jaring dan pickleball.





