BUKIT GANTANG: Subsidi beras tempatan wajar diteruskan bagi memastikan harga lebih rendah dapat dinikmati oleh rakyat.
Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, jika tidak diteruskan, kerajaan perlu mencari mekanisma baharu bagi memastikan rakyat terus mendapat bekalan mencukupi pada harga berpatutan.
“Kalau subsidi ditarik baliklah, maka harga RM2,600 (setan) tidak boleh dijual lagi kerana RM150 juta (subsidi) itu digunakan untuk menurunkan harga kepada RM2,600.
“Saya pun tak tahu apa akan terjadi (selepas subsidi tidak diteruskan) kerana harga tidak akan stabil lagi,” katanya kepada pemberita semasa program jualan termurah Madani sempena kemerdekaan di Pusat Khidmat Bukit Gantang, di sini, hari ini.
Beliau berkata, keputusan kerajaan menamatkan subsidi semalam telah menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat.
Menurutnya, perkara itu telah beliau bangkitkan kepada Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Negara sebelum ini.
Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata, isu beras import kini yang terlalu murah turut menimbulkan persoalan kerana hanya Bernas dibenarkan membawa masuk.
“Sebagai contoh, kos membeli beras putih dari Pakistan hanya sekitar RM1,400 satu tan tetapi apabila masuk pasaran tempatan, harga tidak diturunkan, ini kerana monopoli.
“Sepatutnya monopoli membantu rakyat, bukan menguntungkan pihak tertentu sahaja,” ujarnya.
Sehubungan itu beliau menggesa Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary agar lebih prihatin terhadap nasib rakyat dalam isu beras kerana rakyat kini semakin terbeban dengan kenaikan harga barangan keperluan.
Dalam pada itu, Syed Abu Hussin turut mendedahkan pengilang padi masih belum menerima bayaran subsidi sehingga kini, sekali gus menjejaskan operasi mereka.
“Jika benar beras import jauh lebih murah, harga dalam negara sepatutnya boleh lebih rendah daripada harga beras tempatan.
“Rakyat masih boleh menerima harga sehingga RM30 sekampit, tetapi dengan kawalan harga yang baik sebenarnya ia boleh dikekalkan pada RM26,” katanya.
Mengulas isu beras putih tempatan yang dikatakan tidak laku di pasaran, beliau berkata ia disebabkan kualiti kerana beras yang terlalu hancur hanya dianggap sesuai sebagai makanan ayam dan tidak sanggup dibeli oleh pengguna.
Tambahnya, kerajaan perlu kembali kepada kaedah simpanan stok sebagai langkah kestabilan harga, ketika menghadapi krisis makanan.
Mengulas mengenai program jualan termurah sempena merdeka, Syed Abu Hussin berkata, kesemua barangan keperluan hasil laut dan ayam yang dijual dianggarkan lebih 10 tan.
Katanya, ayam yang berat 1.6 kilogram dijual pada harga RM8, seekor ikan kembung hanya 50 sen, kerang RM5 sekilogram, beras putih tempatan RM20 untuk 10 kilogram.
Selain itu, ujarnya, pihaknya turut menjual pelbagai keperluan harian yang jauh lebih murah berbanding harga pasaran.
Pada Jumaat, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, mereka akan menilai semula mekanisme baharu pembekalan beras putih susulan Program Khas Beras Putih Tempatan (BPT) Bersubsidi akan tamat esok bagi memastikan rakyat terus mendapat bekalan mencukupi pada harga berpatutan.
Menurut kenyataan KPKM, penilaian itu turut mengambil kira penyelarasan harga Beras Putih Import (BPI) pada kadar RM2,600 satu tan metrik di pintu gudang BERNAS yang berkuat kuasa 15 Mei lepas, serta langkah menangani amalan pencampuran beras di pasaran.




