IPOH: Seorang lelaki maut manakala isterinya cedera selepas kereta jenis Toyota Corolla Altis yang mereka naiki terbabas dan terbalik di Jalan Sultan Idris Shah, di sini hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mangsa yang maut merupakan pemandu berusia 55 tahun dan wanita yang cedera itu 48 tahun.
Kemalangan itu berlaku sekitar jam 8.06 pagi sebelum seramai sembilan orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh ke lokasi.
“Terdapat seorang mangsa lelaki tersepit di bahagian pemandu dan telah disahkan maut di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Manakala isteri mangsa hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya lagi, bomba melaksanakan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan hidraulik sehingga mangsa berjaya dikeluarkan.
Mangsa yang maut diserahkan pada polis manakala yang cedera diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut.




