Suami isteri diberkas, cecair dadah dalam botol minuman kesihatan bernilai RM1.2 juta dirampas

Berita Perak

IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan sepasang suami isteri yang cuba menghantar cecair dadah jenis Methamphetane keluar negara dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Taman Canning, Ipoh, minggu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, dalam serbuan kira-kira jam 2.30 petang, pasangan berumur 29 dan 30 tahun itu ditahan ketika berurusan di kaunter ‘mail boxes’ di stesen minyak berkenaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dijalankan, pihak polis menjumpai enam botol plastik dan kaca minuman kesihatan yang berisi cecair disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan anggaran isipadu 2,547 milimeter.

“Hasil daripada soal siasat dan dipandu arah oleh suspek lelaki sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak telah pergi ke rumah kedua-dua suspek iaitu di Chemor.

“Hasil pemeriksaan di kediaman suspek, kita telah merampas, menjumpai dan merampas enam lagi botol plastik warna putih berpenutup berisi cecair disyaki mengandungi dadah jenis Methamphetamine dengan anggaran isupadu keseluruhan lebih kurang 34,784 milimeter,” katanya.

Beliau bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas peralatan membungkus dadah, telefon bimbit dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

Mengulas lanjut Noor Hisam berkata, anggaran keseluruhan isipadu dadah yang dirampas berjumlah 37,331 milimeter, bernilai kira-kira RM1.2 juta.

Berdasarkan siasatan yang dijalankan, polis percaya sindiket itu mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak Jun 2024 dan dadah yang dirampas disyaki untuk diedarkan di dalam dan luar negara.

Dadah yang dirampas boleh digunakan untuk lebih 370,000 orang penagih dadah dan kes disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suspek lelaki direman selama tujuh hari sehingga 27 Mac manakala isterinya direman selama lima hari mulai sehingga 25 Mac bagi membantu siasatan.