IPOH: Sebuah stor menyimpan barangan makanan kering di Maahad Tahfiz Mistahul Jannah, Jalan Sungai Pari, di sini musnah terbakar hari ini.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak, bagaimanapun kebakaran itu berjaya dipadam oleh kakitangan sekolah menggunakan alat pemadam api.
Insiden itu tidak melibatkan sebarang pelajar atau kakitangan maahad.
Katanya, kejadian itu berlaku kira-kira jam 7.39 pagi sebelum seramai tujuh orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh ke lokasi.
“Bomba terima panggilan berlakunya kebakaran stor. Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati sebuah stor menyimpan makanan kering musnah terbakar.
“Kebakaran telah berjaya dipadamkan oleh kakitangan sekolah dengan menggunakan alat pemadam api jenis debu kering,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tambahnya lagi, ketua operasi melaksanakan sizeup seterusnya mengarahkan anggota untuk membuat pemantauan di sekitar lokasi kejadian bagi memastikan kebakaran dipadamkan sepenuhnya.



