TELUK INTAN: Risikan selama seminggu membawa kepada serbuan ke atas sebuah stor simpanan haram di sini pada Khamis, yang disyaki menyimpan barang kawalan gas petroleum cecair (LPG) tanpa lesen atau permit.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun yang merupakan pemilik stor tersebut turut ditahan.
Katanya, serbuan itu dilakukan oleh penguat kuasa KPDN Cawangan Teluk Intan.
“Semasa pemeriksaan, pasukan telah menjumpai sebanyak 60 unit tong berisi
LPG 14kg jenama MyGaz, 110 unit 14kg jenama Mira, 141 unit 14kg jenama Petronas.
“1,002 unit 12kg jenama Petron dan 12 unit 50kg jenama Petron.
“Turut ditemui 132 unit tong kosong LPG 14kg jenama MyGaz, 332 unit 14kg jenama Mira dan 50 unit 50kg jenama Petron,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Kamalludin menambah, pemilik stor tersebut gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada pengawal apabila diminta oleh pasukan pemeriksaan.
Sehubungan itu, katanya kesemua barang kawalan LPG tersebut disita dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM183,318.20.
Katanya lagi, kes akan disiasat di bawah kesalahan Akta Kawalan Bekalan 1961, kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual LPG tanpa kebenaran bertulis pihak berkuasa.






