Stor haram jadi bank diesel, pemandu lori seleweng diesel

Berita Perak

IPOH: Sebuah stor haram yang menyimpan barang kawalan minyak diesel tanpa permit di Kampung Kepayang, di sini diserbu oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak pada Selasa.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, dalam serbuan itu, sebanyak 1,800 liter cecair disyaki minyak diesel ditemui dalam stor yang berfungsi sebagai ‘bank diesel’.

Katanya, seorang lelaki tempatan
berusia 63 tahun yang mengaku sebagai pemandu lori gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan.

“Serbuan dilakukan hasil maklumat risikan dan pemantauan selama seminggu.

“Modus operandi sindiket adalah dengan membeli diesel daripada pembekal tidak berlesen dan menyimpannya di stor haram ini.

“Kemudiannya menjual kepada pihak industri di sekitar Ipoh pada kadar harga yang lebih murah berbanding harga semasa,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Sehubungan itu, pihaknya telah menyita
cecair disyaki minyak diesel sebanyak 1,800 liter, dua tangki kontena pukal pertengahan (IBC) beserta hos.

Turut disita sebuah lori dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM55,270.

Kamalludin berkata kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual minyak diesel tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan.