Sorok minyak masak peket, jual gula pasir lebihi harga kawalan, peniaga dikena tindakan

Berita Perak

TAIPING: Sebuah premis barang runcit di Taman Kota Jaya, Simpang, di sini diserbu setelah didapati menyorok minyak masak peket dan menjual gula pasir melebihi harga kawalan.

Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Datuk Kamalludin Ismail, pemeriksaan menerusi Op Samar itu dijalankan penguat kuasa KPDN Cawangan Taiping pada Jumaat jam 11.15 pagi.

Katanya lagi, menerusi serbuan itu, sebanyak 220 kilogram (kg) minyak masak peket 1kg bersubsidi dan 337kg gula pasir putih kasar berserta beberapa dokumen berkaitan disita.

“Terdapat aduan dari orang awam minyak masak peket 1kg bersubsidi dijual melebihi harga kawalan di premis itu.

“Ketika uji beli dilakukan, jurujual memaklumkan minyak masak peket 1kg bersubsidi telah habis dijual dan tiada stok.

“Curiga dengan kenyataan tersebut, penguat kuasa beruniform masuk ke dalam premis dan melakukan pemeriksaan menyeluruh.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 220kg minyak masak peket 1kg bersubsidi disimpan di stor premis terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, tindakan menyorok dan enggan menjual barang kawalan ini merupakan satu
kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Selain itu, pemeriksaan lanjut mendapati gula pasir putih bertapis kasar 1kg dijual dengan harga RM2.90, iaitu melebihi harga kawalan ditetapkan RM2.85.

“Sehubungan itu, satu lagi tindakan kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 diambil ke atas premis sama kerana menjual barang kawalan melebihi harga kawalan ditetapkan kerajaan.

“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM1,510.45 dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya lagi.