IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, situasi banjir yang berlaku di Manjoi begitu memprihatinkan.
Dalam hantaran terbaharu di laman sosial Facebooknya, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, beliau telah menerima laporan secara berterusan sejak semalam dan
telah menyalurkan bantuan segera kepada keluarga yang terjejas akibat dari musibah banjir itu.
“Insya-Allah, saya akan terus memantau dan bersiapsiaga, selain terus berdoa agar musibah ini mereda dan warga Manjoi dapat segera kembali ke rutin harian secepat mungkin,” katanya.



Di dalam hantaran tersebut, turut memaparkan foto Ketua Pegawai Khas Parlimen Tambun, Mohamad Hairul Amir Sabri menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir.
Sebagai maklumat, kawasan yang terlibat banjir terletak di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi di bawah Parlimen Tambun, bersama-sama DUN Hulu Kinta.
Terdahulu, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di Dewan Kampung Tengku Hussein bagi menempatkan 26 mangsa banjir yang terlibat.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kinta, Zulhisham Ahmad Shukori memaklumkan, PPS itu dibuka mulai jam 5 petang bagi menempatkan 10 keluarga berkenaan.
Menurutnya, pembukaan PPS itu ekoran mereka tidak dapat memasuki kediaman masing-masing kerana kerja pembersihan tidak dapat dilaksanakan hari ini.





