Sistem PKR mangsakan orang bawahan pendapat peribadi Rafizi – AMK

Berita Perak

PADANG RENGAS: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyangkal dakwaan Datuk Seri Rafizi Ramli bahawa sistem Parti Keadilan Rakyat (PKR), lebih cenderung mempertahankan kepimpinan atasan sehingga menjejaskan kepentingan ahli di peringkat akar umbi.

Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, kenyataan yang dikeluarkan bekas Timbalan Presiden PKR itu bersifat peribadi dan tidak menggambarkan situasi sebenar parti, khususnya dalam pemilihan PKR peringkat pusat tahun lalu.

Menurutnya, dari segi pengurusan dan pelaksanaan, sistem pemilihan parti pada ketika itu jauh lebih baik berbanding proses pemilihan sebelum ini.

“Walaupun terdapat beberapa kekurangan dari segi pelaksanaan termasuk kekecohan yang berlaku, namun secara keseluruhan pemilihan parti pada tahun lalu berjalan dengan baik.

“Alhamdulillah pada tahun lalu, pemilihan itu berjalan dalam keadaan yang baik dan saya tidak fikir bahawa sistem itu diwujudkan untuk mempertahankan kelompok yang tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Sumbangan Kasih Madani kembali ke sekolah 2026 Parlimen Padang Rengas di Pekarangan Pusat Komuniti Rakyat Padang Rengas, di sini, hari ini.

Menurutnya, sistem yang dilaksanakan telus dan telah diaudit sepertimana yang dituntut.

“Sepatutnya, bagi saya ialah kita harus fokus kepada gerak kerja, politik kita di lapangan, move on, mara ke hadapan dan bina semula kekuatan parti,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan berkata, segala keputusan berkaitan sistem dan proses pemilihan parti dilaksanakan mengikut tatacara yang telah ditetapkan.

Malah, katanya, setiap perkara telah dibawa dalam perbincangan menerusi mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sebelum diputuskan dan dipersetujui bersama untuk dilaksanakan.

Pada Jumaat, Rafizi yang juga merupakan bekas Menteri Ekonomi dilaporkan berkata, peletakan jawatannya disebabkan oleh sistem parti yang mempertahankan kepimpinan atasan sehingga menjejaskan kepentingan akar umbi.

Rafizi dalam podcast Yang Bakar Menteri (YBM) mendedahkan bahawa beliau tidak boleh menyokong keputusan dan sistem yang ‘menyelamatkan’ orang atas tetapi ‘memangsakan’ orang bawah.

Sementara itu, mengulas saranan Ketua AMK Selangor Muhammad Iman Haziq agar PAS menyertai Kerajaan Perpaduan, Muhammad Kamil berkata, ia suatu pandangan untuk menghentikan pertelingkahan politik dan fokus kepada usaha untuk rakyat.

Menurutnya, pandangan itu adalah peringatan, supaya kita dapat memberi tumpuan dan fokus kepada usaha untuk memperkukuh ekonomi dan membangunkan negara.